29hmbehee_1490738889.jpg

Kota Kinabalu: Selepas diketepikan dalam dua perlawanan sebelum ini, penyerang Sabah Jonathan Behe kini bersedia menggempur kubu Negeri Sembilan apabila kedua-dua pasukan bertembung dalam aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Likas, Sabtu ini.

Behe yang setakat ini meledak tiga gol untuk Sang Badak terpaksa direhatkan dua perlawanan termasuk ketika pasukan itu menyingkirkan MOF FC di pusingan ketiga Piala FA, akibat kecederaan hamstring.

Ketua jurulatih Sabah Jelius Ating berkata, Behe sudah kembali menjalani latihan bersama pasukan dan kini dalam keadaan baik untuk diturunkan.

“Dia (Behe) kembali berlatih sejak beberapa hari lalu, ini sesuatu yang baik untuk kami terutama dalam melakukan persiapan untuk perlawanan Sabtu ini,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Likas, di sini, kelmarin.

Jelius yang mengambil alih tugas ketua jurulatih daripada Steve Vilmiaire, minggu lalu, berkata beliau juga bersemuka dengan Behe untuk mendapatkan reaksi terhadap keadaan pasukan ketika ini.

“Behe memberitahu tidak mempunyai masalah dan bersedia membantu pasukan walaupun sebelum ini dia dibawa masuk jurulatih terdahulu,” katanya.

Sementara itu, pengendali berusia 46 tahun itu turut gembira dengan perkembangan pemain tengah dari Jepun, Matsaya Jitzono yang menunjukkan komitmen baik.

“Selain itu, kami juga gembira dengan kehadiran pertahanan Igor Cerina yang semakin cergas untuk perlawanan itu nanti,” katanya.

Perlawanan bertemu NS yang juga pendahulu Liga Perdana dalam aksi suku akhir pertama Piala FA, Sabtu ini, menjadi ujian pertama buat Jelius selepas diberi tanggungjawab Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) untuk mengendalikan skuad senior negeri berkenaan, minggu lalu.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.