Porsche Taycan tiba di Malaysia – tiga varian, harga RM725k – RM1.2 juta, jarak gerak hingga 464 km

Sejak awal tahun lepas lagi Sime Darby Auto Performance (SDAP) telah mengumumkan bahawa mereka akan membawa masuk Porsche Taycan ke dalam pasaran Malaysia. Malah, pengumuman telah dibuat sebelum model itu dipertontonkan pertama kali kepada dunia pada bulan September. Kini akhirnya, model elektrik tersebut sudah mula dijual di negara kita.

Gambaran awal untuk Taycan ditunjuk mulanya melalui model konsep Mission E pada tahun 2015. Apabila sudah memasuki fasa produksi, bentuknya tidak banyak berubah dan masih mengekalkan muka sama yang mempunyai bukaan udara menegak di hujung bampar dan bersambung dengan lampu utama yang mempunyai LED empat bintik.

Pada bahagian tepi, selain bukaan untuk udara keluar, anda juga boleh melihat tempat mengecas yang boleh dibuka dengan satu sentuhan sahaja. Bentuk Taycan ini lebih menyerupai Panamera tetapi bahagian belakangnya lebih tirus dan ia menggunakan pembuka pintu yang sama rata dengan panel badan, seperti 911 generasi 992.

Bahagian dalam Taycan juga lebih futuristik berbanding model lain yang pernah dikeluarkan oleh Porsche. Di hadapan pemandu terdapat skrin 16.8 inci untuk instrumen, di bahagian tengah terdapat dua skrin iaitu 10.9 inci di atas dan 8.4 inci di bawah, sementara di hadapan penumpang terdapat satu lagi skrin bersaiz 10.9 inci.

Untuk pasaran Malaysia, Taycan ditawarkan dalam tiga varian iaitu Taycan 4S, Taycan Turbo dan Taycan Turbo S. Kesemuanya menggunakan tetapan pacuan empat roda, bersama motor elektrik untuk setiap gandar. Motor di hadapan disambungkan kepada transmisi satu kelajuan sementara motor di belakang dipadankan bersama transmisi dua kelajuan.

Pada Taycan 4S, motor elektriknya boleh menghasilkan 435 PS (429 hp atau 320 kW) dan 640 Nm tork, tetapi dengan fungsi overboost dan Launch Control, ia boleh ditingkatkan lagi kepada 530 PS (523 hp atau 390 kW) buat seketika. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa empat saat, dengan laju maksimum 250 km/j.

Porsche_Taycan_Turbo_S_Malaysia_Int-20 BM
Porsche_Taycan_Turbo_S_Malaysia_Int-14 BM
Porsche_Taycan_Turbo_S_Malaysia_Int-13 BM

Varian ini juga ditawarkan dengan pilihan Performance Battery Plus, yang dapat meningkatkan kuasanya kepada 490 PS (483 hp atau 360 kW) dan 650 Nm (overboost: 571 PS, 563 hp atau 420 kW). Prestasi tidak berubah, tetapi peningkatannya dapat dinikmati melalui jarak gerak.

Pergi pula kepada model Taycan Turbo, anda disediakan dengan 625 PS (617 hp atau 460 kW) dan 850 Nm (overboost: 680 PS, 670 hp atau 500 kW). Pecutan 0-100 km/j untuk varian ini adalah 3.2 saat sementara laju maksimumnya adalah 260 km/j.

Varian paling atas dan paling berkuasa, Taycan Turbo S menyediakan 625 PS dan 1,050 Nm (overboost: 761 PS, 751 hp atau 560 kW), sekaligus membenarkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 2.8 saat tetapi laju maksimumnya masih lagi sama seperti Taycan Turbo iaitu 260 km/j.

Kuasa untuk motor elektrik Taycan 4S datang daripada pek bateri lithium ion 79.2 kWh, yang mampu memberikan jarak gerak 408 km (mengikut kitaran WLTP) melalui satu cas penuh. Apabila dipasang dengan pakej naik taraf tambahan Performance Battery Plus, jaraknya boleh menjadi 464 km, melalui bateri berkapasiti 93.4 kWh.

Dua lagi varian Taycan menggunakan pek bateri 93.4 kWh secara standard, dengan Taycan Turbo memberi jarak gerak 450 km manakala Taycan Turbo S menyediakan jarak 412 km. Perlu diketahui juga, Taycan adalah kereta produksi pertama yang menggunakan sistem elektrikal 800 volt sementara baterinya pula diletakkan di bawah lantai.

Semua varian Taycan mendapat suspensi udara adaptif dengan spring udara three-chamber, Porsche Active Suspension Management (PASM) dan Porsche Traction Management (PTM). Rim standard untuk Taycan 4S bersaiz 19 inci dan di sebaliknya terdapat brek cakera 360 mm dengan angkup enam piston di hadapan dan cakera 358 mm dengan angkup empat piston di belakang.

Porsche_Taycan_Turbo_S_Malaysia_Ext-15 BM
Porsche_Taycan_Turbo_S_Malaysia_Int-4 BM
Porsche_Taycan_Turbo_S_Malaysia_Int-6 BM

Taycan Turbo pula mendapat rim 20 inci dengan sistem brek Porsche Surface Coated Brake (PSCB) yang terdiri daripada cakera tungsten disalut carbide (saiz 415 mm di hadapan dan 365 mm di belakang, bersama angkup 10 piston dan empat piston. Angkup brek yang sama digunakan pada Taycan Turbo S, tetapi ia dinaik taraf dengan Porsche Ceramic Composite Brake (PCCB) yang memberikan cakera seramik saiz 420 mm di hadapan dan 410 mm di belakang.

Sistem brek ini bekerjasama dengan sistem penjanaan semula kuasa untuk mengecas bateri tetapi anda masih lagi perlu mengecas bateri itu secara betul untuk memastikan ia dapat penuh. Untuk itu, ada dua pengecas yang disediakan iaitu unit AC sambungan Type 2 dan pengecas 11 kW pada kereta.

Melalui pengecas AC, bateri berkapasiti lebih kecil pada Taycan boleh penuh dalam masa lapan jam sementara bateri 93.4 kWh memerlukan masa sembilan jam. Untuk tempoh lebih pendek, Taycan juga boleh menggunakan sambungan CCS dengan pengecas DC 270 kW.

Melalui sistem pengecasan pantas yang disambungkan kepada pengecas 50 kW, daripada tahap 5%, ia boleh mencapai 80% dalam masa 93 minit, atau 31 minit untuk memberi jarak gerak 100 km. Tempoh ini boleh dipendekkan lagi menggunakan pengecas 270 kW, di mana ia akan mengambil masa 22.5 minit untuk mencapai tahap 80% daripada 5%, atau 5.5 minit untuk memberikan jarak gerak 100 km.

Apabila membeli Taycan, anda akan diberikan dengan Porsche Charging Dock (pengecas AC 22 kW) dan Porsche Home Energy Manager, dan rumah anda akan diperiksa untuk memastikan sistem elektrikalnya dapat digunakan dengan pengecas ini.

Anda juga boleh menggunakan stesen pengecas awam yang berada di sekitar Malaysia, termasuk yang berada dalam rangkaian ChargEV. Sekiranya mahu menggunakan pengecas DC, ada juga disediakan di beberapa tempat, dengan kapasiti pengecasan 50 kW.

Untuk memastikan pemilik dapat menggunakan pengecas pantas, SDAP telah mengambil langkah menyediakan pengecas DC 175 kW di pusat servis Porsche Centre Ara Damansara, yang dapat memenuhkan bateri dalam masa 36 minit sahaja. Pengecas ini sudah dipasang lebih awal sementara penghantara Taycan kepada pelanggan dijangka berlaku dalam masa suku pertama tahun 2021.

Bagi harga, Taycan 4S dijual pada harga RM725,000, Taycan Turbo RM999,000 dan Taycan Turbo S RM1,195,000. Harga ini tidak termasuk insurans dan semuanya datang dengan jaminan serta program penyelenggaraan empat tahun, bersama jaminan bateri lapan tahun. Jaminan ini boleh disambung menjadi 15 tahun sekiranya pelanggan mahu.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: