Malaysia Artist- Nasha Aziz

Noraishah “Nasha” Abdul Aziz (lahir 14 Mei 1971) ialah seorang peragawati dan pelakon Malaysia. Pernah mendapat jolokan “Supermodel Malaysia”, Nasha juga mempunyai pencapaian membanggakan dalam bidang lakonan termasuk memenangi anugerah nasional iaitu Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia.

Kerjaya

Peragaan

Nasha Aziz memulakan kerjaya dalam bidang peragaan sejak 1989, bakat beliau mula diperkenalkan oleh Tiara Jacquelina. Nasha terus mengembangkan nama sebagai peragawati terkenal tanah air hingga ditawarkan kontrak peragaan di New York, Amerika Syarikat. Namun, kerana keterbatasan agama dan budaya, Nasha memilih untuk menetap di Malaysia dan meneruskan bidang peragaan selain menceburi bidang lakonan.

Suatu ketika beliau pernah diberi jolokan Peragawati Nombor Satu Tanah Air. Sepanjang bergelar peragawati, Nasha pernah menyarungkan busana dari pelbagai pereka dalam dan luar negara seperti Zhang Toi, Rizalman Ibrahim, Christian Dior, Levi’s, Versace dan banyak lagi. Nasha juga menjadi pilihan iklan komersial, antara yang pernah disiarkan di kaca TV termasuklah Nescafe Classic, Avon, Pantene, Panasonic, Rexona dan kosmetik Cover Girls.

Lakonan

Nasha mula berjinak-jinak dalam dunia lakonan menerusi telefilem pertamanya iaitu Duit Free, arahan Zainal TJ pada tahun 1994 dan Inikah Cinta, sebanyak 13 episod menerusi TV1. Nasha memulakan kerjaya sebagai pelakon filem pada 1995 menerusi filem Kad Cinta bersama Hairie Othman terbitan dan arahan Julie Dahlan (kini Allahyarhamah) ketika berusia 24 tahun. Biarpun begitu, bintang Nasha lebih menyerlah di bidang peragaan. Nama Nasha mula meledak pada 1998 apabila sekali lagi bergandingan bersama Hairie dalam drama bersiri popular Hanya Dikau. Nasha juga popular menerusi watak kecil dalam drama bersiri popular Idaman. Pada 1998, beliau menerima tawaran daripada pengarah Yusof Haslam untuk memegang watak Effa dalam filem Bara selepas penyanyi Erra Fazira menolak tawaran tersebut atas sebab peribadi. Filem tersebut nyata memberi tuah kepada Nasha apabila dicalonkan untuk kategori Pelakon Wanita Terbaik serta menggondol anugerah Pelakon Harapan Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-14 (FFM14) menerusi watak pelacur dalam filem tersebut. Ketika mula popular Nasha terpaksa membahagikan masa di antara bidang lakonan dan peragaan. Pada 1999, beliau menolak tawaran untuk membintangi filem Pasrah bergandingan bersama Erra. Nasha ditawarkan memegang watak sebagai Natasha dalam filem tersebut di mana watak tersebut kemudiannya dipegang oleh Wilma Muhammad. Pada 2001, Nasha hampir bersiap sedia untuk ke lokasi filem Hati Biru bergandingan bersama Sofia Jane dan Azri Iskandar; namun filem itu dibatalkan pembikinannya setelah Nasha berhempas puas berlatih vokal untuk memegang watak penyanyi dalam filem tersebut. Nyanyian beliau bagaimanapun pertama kali berkumandang ketika beraksi di pentas Panggung Sari, Istana Budaya pada 2007 untuk pementasan teater muzikal Lantai T. Pinkie.

Nasha bagaimanapun terus cemerlang dalam bidang lakonan apabila dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-17 menerusi watak Jeslina, wanita psiko dalam filem Trauma. Menerusi filem tersebut Nasha dikhabarkan bertelagah dengan pengarah filem itu, Aziz M Osman apabila Nasha tidak diberi skrip lebih awal untuk menjayakan watak tersebut; sebaliknya Aziz berahsia mengenai pembentukan watak Jeslina dalam filem tersebut hingga menyukarkan Nasha untuk membuat persediaan. Ternyata kaedah Aziz untuk membentuk watak misteri Jeslina dalam filem tersebut berhasil, malahan Nasha sendiri tidak menyangka hasil lakonannya menjadi begitu cemerlang di layar perak hingga dicalonkan di Festival Filem Asia Pasifik ke-49 di Fukuoka, Jepun pada 2004. Nasha muncul dalam beberapa lagi filem pecah panggung seperti Gerak Khas The Movie (2001), Laila Isabella (2003), Buli, dan Cinta Luar Biasa (2004). Populariti Nasha memuncak dan terus menjadi antara pelakon wanita utama paling popular di Malaysia sebaris dengan nama-nama besar seperti Amy Mastura, Erra Fazira, Umie Aida dan Maya Karin. Nasha juga dicalonkan dua kali dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik dalam dua edisi FFM berikutnya menerusi watak gadis lesbian yang dihantui kisah silam dalam Puaka Tebing Biru dan wanita yang berdepan dengan masalah poligami dalam filem Otai.

Setelah lebih 10 tahun bergelar pelakon, Nasha agak selektif dalam memilih produksi untuk dibintanginya. Sejak 2008, beliau tidak lagi muncul di layar perak sebaliknya fokus kepada lakonan di kaca televisyen. Nasha semakin ligat berlakon drama bersiri antaranya bersama Rosyam Nor antaranya Makan Besar, Maya Mira dan Seri Pengantin. Nasha juga popular menerusi banyak drama bersiri seperti Inspirion, Datin Diaries dan membintangi bersama Erra Fazira menerusi drama bersiri Kasih Tercipta. Nasha bijak menggunakan kebolehannya untuk berkomedi dalam drama-drama seperti Awan Dania, Supermak dan Tujuh Dulang Asam Pedas. Pada 2009, Nasha merupakan juri tetap untuk rancangan realiti Anak Wayang di Astro Ria.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: