Proton bangunkan platform baru untuk model akan datang, tak jauh dari model Geely — Azlan Othman

31

Ketika ini, Proton menjual dua “jenis” kenderaan. Satu, yang dibangunkan sendiri sebelum ini, seperti Persona, Iriz, Exora dan Saga. Kedua, model rebadge dari Geely, SUV X70. Walaupun antara dua jenis ini memang ada berkongsi sedikit aspek rekaan dan ciri seperti Geely Key User Interface (GKUI), kedua-duanya sangat berbeza. Namun, itu mungkin bukan lagi keadaannya di masa depan nanti.

Dalam satu temuramah bersama kami hari ini, Ketua Pereka Proton, Azlan Othman, memaklumkan bahawa barisan model akan datang akan lebih terhubung, dengan model binaan sendiri berbesa sama sekali daripada apa yang ada ketika ini. “Akan sampai masa nanti bahawa model-model legasi Proton ini tidak lagi membawa penampilan yang sama seperti hari ini. Nama mungkin dikekalkan, tetapi bukan rupa dan reka bentuk,” jelas beliau.

Untuk itu, Proton ketika ini sedang membangunkan platform baru yang akan digunakan oleh model-model binaan sendiri kelak. Ini dilakukan dengan kerjasama Geely, walaupun masih belum jelas adakah Proton bakal mendapat akses bagi platfrom segmen B Modular Architecture (BMA) dan Modular Architecture (CMA) yang dimiliki syarikt China itu.

Model-model baru nanti akan lebih menonjol dan berbeza dari segi rekaan. X70 hari ini menampilkan perubahan estetika yang minimum berbanding Geely Boyue, dan elemen yang sama itu diterapkan kepada model-model lain yang ada bagi versi facelift terbaru ketika ini. Pendekatan ini sebetulnya turut membuka jalan kepada pembangunan produk baru untuk menjana angka jualan dan keuntungan yang lebih baik.

Disebabkan itu, Proton menumpukan perhatian untuk membangunkan kenderaan dengan cepat dan menepati keperluan pasaran semasa, jadi rekaan jatuh ke tempat kedua dari segi keutamaan sebelum ini. Namun, Azlan menyatakan model-model akan datang akan menerima reka bentuk yang lebih menarik. “Tugas kami ketika ini adalah untuk menghasilkan rekaan yang lain dan luar biasa bagi model-model berkenaan,” ujarnya.

Membangunkan kereta dari awal adalah sangat penting bagi Proton untuk menjadi pusat pemasangan kereta pemanduan kanan bagi Geely. Syarikat juga komited untuk menghasilkan kereta generasi baru untuk rantau Asia Tenggara, termasuk negara seperti Thailand dan Indonesia. Untuk menampung kos pembangunan platform baru, Proton menawarkan kepada Geely untuk membantu menghasilkan kenderaan yang boleh memasuki segmen pasaran yang baru. Bila boleh kita jangkakan model baru ini akan memasuki pasaran? Azlan bagaimanapun enggan memberikan jangka masa yang jelas; “harapnya dalam masa yang tak terlalu lama,” ujarnya.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: