Honda WR-V facelift 2020 dilancar di India – ciri dan gaya dipertingkat; enjin petrol dan diesel; dari RM49k

33

Honda WR-V facelift 2020 telah pun dilancarkan secara rasmi di India, beberapa bulan selepas “SUV” berasaskan Jazz generasi ketiga ini muncul di laman web dan media sosial Honda India. Pada mulanya, ia dijadualkan diperkenalkan pada April lalu, namun perancangan tersebut tertunda ekoran pandemik COVID-19 yang turut menjejaskan kilang syarikat tersebut di Tapukara, Rajasthan, di mana WR-V dihasilkan.

Semakan di bahagian luaran melibatkan hujung hadapan baharu dengan penampilkan gril krom Solid Wing yang lebih menyerlah diposisikan di atas kepingan melintang yang sebelum ini ditampilkan dengan honeycomb. WR-X turut menerima lampu utama, lampu kabus dan lampu signitur baharu bagi lampu belakang yang direka semula dengan gaya lebih sporty, di mana unit LED diberikan bagi varian tertinggi VX, berbanding model asas SV masih dengan unit halogen.

Kedua-dua varian juga didatangkan dengan rekaan baharu bagi roda standard bersaiz 16-inci, namun varian VX ditampilkan dengan ciri tambahan seperti bumbung matahari larasan elektrik, indikator pada cermin sisi dan bilah pengelap cermin belakang. Seperti sebelum ini, WR-V masih tampil dengan lapisan sisi badan, plat skid hadapan dan belakang serta rel bumbung bagi memberikan imej yang lebih bergaya.

Bagi bahagian kabinnya pula, WR-V menerima paten yang dipertingkatkan untuk tempat duduk upholstery fabrik dan juga sistem infotainmen juga dinaiktaraf dengan skrin sesentuh tujuh-inci yang menawarkan fungsi Android Auto dan Apple CarPlay, navigasi dengan sokongan trafik secara langsung, kawalan jauh infrared dan beberapa pilihan pemain media.

Ciri berkenaan adalah standard untuk kedua-dua varian SV dan VX, bersama dengan empat pembesar suara (VX dapat dua tweeter tambahan), kamera undur pelbagai-pandangan, penderia parkir belakang, tempat duduk larasan manual, paparan pelbagai info, kawalan roda stereng dan pendingin hawa automatik zon-tunggal. Walau bagaimana pun VX menerima ciri tambahan lain termasuk kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, kawalan kelajuan, cermin sisi larasan berkuasa, roda stereng balutan kulit, lampu map hadapan dan perehat tangan tengah.

Honda India turut menawarkan enam kemasan luar bagi WR-V, termasuklah Premium Amber Metallic, Lunar Silver Metallic, Modern Steel Metallic, Golden Brown Metallic, Radiant Red Metallic dan Platinum White Pearl.

Bagi aspek keselamatan, kedua-dua varian menerima dua beg udara di hadapan, ABS dengan EBD, peringatan pemakaian tali pinggang keledar hadapan, kepekaan kelajuan tinggi, perehat kepala pengurangan-impak dan sistem override brake (dapat dikesan oleh penderia apabila pedal pendikit dan pedal brek ditekan pada masa yang sama).

Berkenaan penjana kuasanya, ia didatangkan dengan enjin 1.2 liter naturally-aspirated empat-silinder SOHC i-VTEC petrol yang mampu menghamburkan kuasa hingga 90 PS pada 6,000 rpm dan tork 110 Nm pada 4,800 rpm. Ia dianggarkan menggunakan bahan api sekitar 16.5 km/l dan dipadankan bersama transmisi manual lima-kelajuan.

Sebagai alternatif, enjin diesel turut ditawarkan iaitu unit 1.5 liter empat-silinder i-DTEC turbodiesel dengan kuasa 100 PS pada 3,600 rpm dan tork 200 Nm pada 1,750 rpm, dengan penggunaan bahan api sekitar 23.7 km/l. Ia turut menampilkan kotak gear manual enam-kelajuan. Kedua-dua enjin melepasi standard emisi terkini India, BS6.

Varian SV dengan enjin petrol ditawarkan pada harga 849,900 rupees (RM48,731), sementara unit diesel pula berharga 979,900 rupees (RM56,181). Manakala VX dengan i-VTEC pula berharga
969,900 rupees (RM55,608) dan varian paling mahal VX janaan i-DTEC pula ditawarkan pada harga
1,099,900 rupees (RM63,076).

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: