Kia K5 2021 diperkenalkan di Amerika Syarikat – versi GT terima kuasa 290 hp/422 Nm dari enjin 2.5L turbo

31

Selepas didedahkan pada hujung tahun lalu, Kia K5 2021 kini diperkenalkan secara rasmi untuk pasaran Amerika Syarikat. Sedan tersebut tidak lagi dikenali sebagai Optima pada pasaran berkenaan dan juga mana-mana pasaran lain di luar Korea, di mana namanya kini hanya dikenali sebagai Kia K5.

Seperti yang telah didedahkan sebelum ini, K5 diberikan rupa yang sungguh handsome berbanding pesaing lain dalam pasaran sedan segmen-D seperti Toyota Camry dan Honda Accord, serta menampilkan pelbagai teknologi terkini dan juga unit penjana baharu.

Seperti model-model terkini Kia yang lain, K5 menerima gril “tiger nose” yang lebih lebar, disepadukan dengan lampu utama yang turut dilengkapi lampu nyalaan siang LED “heartbeat“. Bahagian bampar juga nampak lebih agresif dengan liang kemasukan udara lebih besar, manakala bonet yang direka dengan lekuk yang lebih jelas menyerlahkan rupa garang sedan ini.

K5 generasi baharu ini tampil sebagai sebuah sedan seakan sebuah coupe empat pintu, sama seperti konsep sedan flagship Kia iaitu Stinger. Oleh itu, garis badan kereta ini dihasilkan landai ke belakang. Apa yang lebih istimewa pada bahagian sisi K5 ini adalah serlahan kemasan krom dari kerangka tingkap pintu hadapan dan belakang dan terus bersambung ke tiang-D serta merentangi sepenuhnya bawah cermin belakang.

Rupa belakang sedan ini turut kelihatan garang seperti mukanya. Ia diberikan lampu tirus merentangi sepenuhnya bahagian berkenaan. Bampar pula kelihatan ‘sibuk’ dengan sepasang liang udara sisi yang seakan melepaskan aliran udara yang ‘dikaut’ oleh bampar hadapan, kemudian diberikan kemasan seakan diffuser yang turut menempatkan dua kemasan tip ekzos krom berbentuk segi-empat.

Dimensi kenderaan ini juga berubah dari generasi sebelumnya. Ia kini berukuran 4,905 mm panjang (+50 mm), 1,860 mm lebar (+25 mm), 1,445 mm tinggi (-20 mm), serta jarak roda 2,850 mm (+45 mm). Pilihan rim yang disediakan terdiri daripada saiz 16 hingga 18 inci, dengan model GT menerima unit 19 inci.

Kabin K5 ini turut dihasilkan dengan rupa yang lebih premium. Kemasan kayu atau satin krom (bergantung pada varian) merentangi keseluruhan papan pemuka bagi membahagikan atas dan bawah. Ia turut hadir dengan pilihan upholsteri kulit sintetik berwarna merah, bumbung panaromik dan juga roda stereng rata di bawah untuk varian GT-Line.

Sistem infotainmen K5 ini menampilkan skrin sesentuh lapan-inci sebagai ciri standard. Opsyen paparan bersaiz 10.25-inci turut ditawarkan dan ia turut tampil dengan fungsi info trafik masa sebenar berasaskan cloud, hubungan Bluetooth pelbagai, sistem telematik UVO dengan tetapan pelbagai profil pemandu. Pembeli turut boleh memilih sistem bunyi premium Bose dengan 12-pembesar suara.

Selain itu, K5 turut dilengkapi dengan fungsi lain seperti pengecas telefon pintar tanpa wayar, arahan suara serta hubungan Apple Carplay dan Android Auto tanpa wayar – fungsi terakhir ini walau bagaimanapun tidak diberikan untuk model yang hadir dengan sistem navigasi. Kia turut menawarkan opsyen penghidup enjin kawalan jauh, fungsi pra-penyejukkan untuk sistem penghawa dingin dan juga pembuka but tanpa sentuhan tangan.

Manakala untuk sistem keselamatan, kesemua varian K5 menerima pakej bantuan pemanduan Kia Drive Wise yang terdiri dari sistem brek kecemasan automatik, pemantau perhatian pemandu, bantuan kekal lorong, amaran penumpang belakang, dan juga sistem baharu amaran pergerakan kenderaan hadapan (LVDA).

Jika rasa masih tidak cukup, pembeli turut ditawarkan dengan opsyen sistem keselamatan tambahan seperti brek kecemasan automatik yang mengesan penunggang basikal dan kenderaan dari hadapan, pemantau titik buta bersama pengelak pelanggaran, cruise control adpatif yang berfungsi berasaskan sistem navigasi, sistem brek kecemasan automatik ketika mengundur dan juga amaran buka pintu.

Kia K5 dihasilkan dengan asas platform N3 generasi ketiga membolehkan ia dihasilkan lebih besar dan lebih rendah. Geometri suspensi model ini turut telah dioptimakan bagi memberikan pengendalian dan kestabilan lebih baik. Kerangka K5 ini juga diperkuatkan lagi dengan penambahan komponen-komponen yang dihasilkan secara ‘hot stamping’ untuk badan yang lebih solid.

Di Amerika Syarikat, semua varian K5 dijana oleh enjin yang disuap dengan pengecas turbo. Model standard dijana oleh enjin petrol Smartstream G empat-silinder 1.6 liter turbo berkuasa 180 hp dan tork maksima 264 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear lapan kelajuan automatik memacu roda hadapan. Buat pertama kali, enjin ini juga turut ditawarkan dengan opsyen pacuan semua roda.

Selepas musim luruh, K5 akan tampil dengan varian lebih berkuasa iaitu model dengan lencana GT penuh. Versi ini akan diberikan enjin 2.5 liter turbo berkuasa 290 hp dan tork maksima 422 Nm. Digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik lapan-kelajuan baharu dan memacu roda hadapan, K5 GT mampu memecut dari 0-97 km/j dalam masa hanya 5.8 saat!

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: