Kia Carnival generasi baharu – imej awal didedahkan

33

Selepas teaser dalam bentuk lakaran disiarkan minggu lalu, kini Kia telah pun mendedahkan rekaan penuh untuk bahagian luaran MPV flagship mereka, Kia Carnival generasi keempat. Model tersebut dilihat tampil dengan rekaan signatur Kia yang lebih bersegi seperti Kia Seltos dan juga Sorento generasi baharu.

Menurut Kia, Carnival generasi terkini tersebut adalah sebuah ‘Kenderaan Utiliti Bersaiz Besar’. Oleh sebab itu, ia diberikan penggayaan seakan SUV, dengan imej “lebih kuat, tampil lebih bergaya dalam segmen MPV bersaiz sederhana”.

Muka MPV ini menerima muka seakan Kia Seltos, dengan lampu hadapan lebih bersegi bersama gril ‘hidung harimau’ bersaiz besar dan kedua-dua komponen tersebut dilihat seakan bersepadu antara satu sama lain, menerusi jalur kemasan sekeliling dan juga jalur LED lampu nyalaan siang yang nampak seakan bercantum.

Seperti model sedia ada, versi generasi baharu ini turut menampilkan pintu belakang gelangsar. Tetapi kali ini rel untuk pintu berkenaan direka selari dalam satu jalur bermula dari ‘kening’ lampu hadapan dan melalui pembuka pintu, membuatkan rel berkenaan kelihatan hanya seperti satu jalur kemasan, dan itu turut bersambung dengan lampu belakang.

Dari sisi juga kelihatan bumbung Carnival ini seakan terapung dengan tiang-A dan bingkai-bingkai tingkap yang digelapkan, dan seolah-olah hanya ‘disokong’ oleh kemasan istimewa berwarna perak pada tiang-C seperti pada Sorento 2021.

Imej sebuah SUV nampak lebih kuat ditampilkan pada bahagian MPV ini di mana ia hadir dengan lampu kombinasi LED nipis yang merentangi sepenuhnya pintu tailgate belakang. Di atas lampu tersebut kelihatan satu lagi jalur kemasan, yang sebenarnya satu lagi jalur lampu LED yang bersambung dari kemasan perak pada tiang-C tadi.

Juga, bagi menampakkan Carnival ini seakan sebuah SUV, Kia memberikan kemasan bawah bampar hadapan dan belakang berwarna perak yang kelihatan seperti skid plate.

Walau bagaimanapun, Kia masih belum lagi mendedahkan rekaan dalaman MPV ini dan juga sebarang spesifikasi teknikal. Kia Carnival generasi sedia ada masih lagi dijual di Malaysia dalam konfigurasi lapan- dan 11-tempat duduk, dijana oleh enjin diesel R 2.2L CRDi berkuasa 200 PS/440 Nm digandingkan bersama transmisi automatik lapan kelajuan.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: