Perincian Honda City pasaran India didedah – 1.5L i-VTEC, ada LaneWatch, meter digital dan pelbagai lagi

11

Belum lagi dilancarkan sepenuhnya di India, namun Honda telahpun mendedahkan sebahagian perincian City generasi baharu untuk pasaran berkenaan. Jika ia dilancarkan mengikut jadual pada bulan hadapan, ini bermakna India akan menjadi negara kedua di dunia menerima City ini selepas Thailand.

Seperti apa yang terdedah seperti sebelum ini, model pasaran India berkenaan mempunyai berberapa perbezaan ketara dengan versi yang telah dilancarkan di Thailand hujung tahun lalu. Yang pertama adalah enjin – India tidak diberikan enjin 1.0 liter tiga-silinder turbo, tetapi hadir dengan pilihan enjin iaitu 1.5L NA i-VTEC dengan kuasa 121 PS/145 Nm dan juga enjin 1.5 liter diesel i-DTEC yang kini telahpun menepati tahap emisi Bharat 6 (BS-VI), berkuasa 100 PS/200 Nm.

Ketika dilancarkan nanti, model petrol akan ditawarkan dengan pilihan sama ada kotak gear CVT automatik atau manual enam-kelajuan, manakala model diesel seperti sebelum ini hanya tampil dengan transmisi manual enam-kelajuan. Menurut laporan IndianAutosblog, versi diesel mungkin turut akan diberikan pilihan transmisi CVT selepas ini.

Dengan gandingan yang dinyatakan tersebut, model petrol dengan kotak gear manual mampu mencapai penggunaan bahan api 17.8 km/l, enjin petrol dengan kotak gear CVT mencatatkan kadar 18.4 km/l manakala versi diesel pula 24.1 km/l.

Pada bahagian dalaman pelbagai lagi perbezaan dapat dilihat. Berbeza dengan versi Thai yang diberikan paparan meter biasa, model di India ini menerima paparan instrumen separa digital yang dibintangi oleh meter digital tujuh-inci pada bahagian sepatutnya ditempatkan meter analog, bersama satu paparan pelbagai info bersaiz kecil di tengah.

Ia juga menerima sistem kamera pemantau titik buta Honda Lanewatch. Pada pasaran lain termasuk Malaysia dan Thai, sistem Lanewatch yang terdiri dari satu kamera diletakkan pada cermin sisi sebelah penumpang (dipaparkan pada skrin infotainmen utama) ini biasanya hanya diberikan pada model-model besar seperti Civic, Accord dan CR-V.

Manakala untuk sistem hiburan, City varian tertinggi di India dibekalkan dengan skrin sesentuh lapan-inci yang dihubungkan dengan Alexa Remote, serta boleh dihubungkan dengan Android Auto dan Apple CarPlay. Sedan segmen-B ini juga hadir dengan sistem Honda Connect, iaitu sistem hubungan dengan aplikasi telefon pintar yang menggunakan kawalan telemetik bagi memberikan status perincian kereta terus kepada pemandu walaupun dalam jarak jauh.

Selain itu, pelbagai kelengkapan lebih tinggi dari versi pasaran Thailand turut dilihat pada model di India ini, antaranya bumbung suria berkuasa elektrik, sistem pemantau tekanan tayar, dan juga lampu suasana dalam kabin.

Untuk keselamatan pula, City dengan spesifikasi penuh pasaran India ini diberikan enam-beg udara, sistem kestabilan elektronik (VSA), bantuan pengendalian lincah (AHA), traction control, bantuan mula mendaki (HSA) dan juga kamera undur.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: