Mazda BT-50 generasi ketiga – imej teaser disiar, bakal didedahkan 17 Jun ini, kembar kepada Isuzu D-Max?

- Advertisement -
Selepas hampir sepuluh tahun, akhirnya trak pikap Mazda BT-50 bakal menerima penggantinya tidak lama lagi setelah jenama berkenaan menyiarkan gambar teaser untuk model generasi baharu tersebut dan mengumumkan ia akan didedahkan sepenunhnya pada 17 Jun nanti.
Tiada sebarang perincian diberitahu setakat ini, tetapi apa yang pasti tidak seperti model sedia ada yang menggunakan Ford Ranger sebagai asas, versi generasi seterusnya ini dihasilkan dengan kerjasama Isuzu seperti yang telah diumumkan pada tahun 2016.
Oleh itu, boleh dijangkakan BT-50 generasi baharu ini akan berkongsi banyak persamaan dengan Isuzu D-Max generasi terkini yang muncul buat kali pertama pada Oktober tahun lalu. Antara yang boleh diagak, ia akan diasaskan dari platform ladder frame yang sama, serta pilihan enjin turbodiesel RZ4E-TC 1.9 liter berkuasa 150 PS/350 Nm dan juga 4JJ3-TCX 3.0 liter berkuasa 190 PS/450 Nm.
Imej bayangan digital Mazda BT-50 diasaskan dari Isuzu D-Max yang dihasilkan oleh Theophilus ChinSeperti juga sebelumnya, BT-50 juga berkemungkinan akan diberikan penggayaan tersendiri dari Mazda, dan bukan sekadar hanya menukar logo. Penawaran bentuk badan trak pikap Mazda ini mungkin sama dengan D-Max iaitu Single Cab dua pintu, Extended Cab empat-pintu dan juga Double Cab empat-pintu.
Jadi jika nak tahu perincian sebenar Mazda BT-50 generasi ketiga ini, pastikan anda sentiasa mengikuti perkembangan seterusnya dari kami.