28

- Advertisement -

Versi berprestasi tinggi untuk BMW 4 Series generasi terkini iaitu BMW M4 G82 hanya akan didedahkan sepenuhnya pada bulan September nanti, bersama versi sedan empat pintu M3 G80. Sebelum ini bayangan model tersebut hanya dapat dilihat menerusi imej-imej spyshot yang berjaya dirakam memaparkan unit prototaip yang sedang diuji. Namun dalam hantaran terkini di forum Bimmerpost, dapat kita tengok dengan jelas bagaimana rupa produksi sebenar M4 berkenaan.

Walau bagaimanapun, imej tersebut hanya memaparkan bahagian hadapan kereta ini. Anda rasa gril ‘kidney’ pada 4 Series sudah terlampau besar? Nampaknya gril pada M4 ini direka sedikit lebih besar dari versi berkenaan. Untuk imej lebih garang, elemen pin 3D pada gril model standard ditukar kepada bar melintang dalam kemasan hitam.

Gril yang lebih besar serta ruang untuk laluan udara lebih banyak ini juga berkemungkinan untuk mengalirkan lebih banyak angin untuk enjin S58 3.0 liter turbo enam-silinder sebaris yang menjana model paling berkuasa ini. Ia dilaporkan akan dibekalkan dengan kuasa 480 PS pada M4 biasa, dan 510 PS untuk versi M4 Competition.

Selain gril, liang udara sisi bampar juga kelihatan lebih agresif, yang biasanya untuk membantu aliran udara terus ke sistem brek bagi menyejukkannya dengan lebih baik.

Turut dapat dilihat adalah lampu hadapan BMW laserlight pada kereta ini diberikan serlahan biru, dan ia turut diberikan cermin sisi dengan rekaan signatur BMW M.

Menurut CEO BMW M, M4 generasi baharu ini akan menerima kotak gear automatik lapan kelajuan yang digandingkan bersama sistem pacuan semua roda, manakala versi dengan kotak gear manual adalah model yang diklasifikasikan sebagai “Pure” yang hanya menyampaikan kuasa sepenuhnya pada roda belakang sahaja.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: