Honda BR-V facelift 2020 kini di Malaysia, dari RM90k

0

23

- Advertisement -

Honda Malaysia dengan rasminya memperkenalkan Honda BR-V 2020, tiga bulan selepas model MPV tujuh-tempat duduk ini dibuka untuk tempahan. Sama seperti sebelum ini, hanya dua varian ditawarkan, bermula dengan BR-V E berharga RM89,900 dan varian paling tinggi, V pada harga RM96,900.

Kedua-dua harga ini lebih tinggi daripada penawaran terdahulu. BR-V E dikenakan harga RM8,911 (+11%) lebih tinggi daripada yang lama, sementara varian V pula RM9,199 (+10.5%) lebih tinggi. Ini berikutan kenaikan harga yang diumumkan oleh Honda Malaysia pada Februari lalu, yang menyaksikan harga bagi Jazz, City dan CR-V juga naik.

Bagaimanapun, kelengkapan pada BR-V baru ini diberi peningkatan selari dengan kenaikan harga itu. Dari luaran, perbezaan yang terlihat tidak terlalu ketara. Antara yang baru ialah gril baru, bampar dikemaskini dengan perincian tambahan di bawah (hanya varian V datang dengan lampu kabus), rim aloi 16-inci baru dengan tayar 195/60, antena “shark fin” serta bampar belakang baru dengan pemantul cahaya menegak.

Di dalam, kelengkapan seperti tweeter, pencahayaan kabin, penapis kabin, pendingin hawa automatik, sistem tanpa kunci dan butang Push Start adalah standard. Sementara bagi varian V, ia menerima sistem paparan audio tujuh-inci baru, kerusi kulit dengan perincian merah, paddle shifter serta tombol gear kemasan merah. Ciri sedia ada seperti lipatan kerusi 60:40 sekali sentuh dan tumble function bagi kerusi barisan kedua dan tiga masih dikekalkan.

Enjin masih sama, menggunakan unit 1.5 liter empat-silinder SOHC i-VTEC yang menghasilkan 120 PS pada 6,600 rpm dan 145 Nm pada 4,600 rpm yang dipadankan dengan transmisi CVT. Kelengkapan keselamatan juga kekal sama; dua beg udara depan, ABS dengan EBD, dua Isofix di barisan kedua serta tujuh tali keledar tiga-poin.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d