Lego Technic Lamborghini Sián FKP 37 — 3,696 bahagian; enjin V12, kotak gear 8-kelajuan boleh gerak

0

11

- Advertisement -

Tahun lalu, Lamborghini mendedahkan model 12-silinder terbaru, dikenali dengan nama Sian FKP 37 yang merupakan sebuah supercar keluaran terhad dan model sulung petrol-hibrid elektrik jenama itu. Kini, model sama juga sudah diperkenalkan dalam versi Lego sebagai model Technic terbarunya.

Model di bawah nama Lego Technic bermaksud kereta ini mempunyai skala 1:8 dengan beberapa ciri teknikal yang boleh bergerak. Menurut Lego, ini model paling rumit dan kompleks yang pernah mereka keluarkan – bahkan lebih kompleks daripada replika Bugatti Chiron pada 2018 dahulu. Model terbaru ini terdiri daripada 3,696 bahagian.

Kereta berkenaan datang dalam warna hijau cerah, dan untuk model replika ini juga Lego sedaya-upaya menghasilkan warna sama, berserta garis dan lengkungnya dalam bentuk “bata” binaan Lego. Profilnya masih kekal dengan rupa bentuk sebenar, dengan lampu utama yang bersegi dan susun letak bukaan udara. Hampir semua bahagian model Lego ini mencerminkan rekaan sebenar yang dapat dilihat pada kereta berkenaan.

Pereka Kanan Lego, Aurelien Rouffiange memaklumkan, pembangunan model Sian ini mendorong kepada terhasilnya empat bahagian unik – panel bonet segi tiga, fender depan, skirt sisi dan roda emas yang kompleks – bagi mendapatkan rekaan yang mirip asal. Selain itu, model Lego ini juga menampilkan ciri ikonik kereta Lamborghini, apa lagi kalau bukan scissor door berkembar yang boleh dibuka. Di dalam, stereng boleh bergerak, begitu juga dengan tuil gear dan paddle shifter.

Lego Sian juga menampilkan bahagian bawah yang terdedah oleh tetingkap untuk menunjukkan pergerakan kotak gear sequential lapan-kelajuan yang digunakannya. Kotak gear ini dihubungkan kepada unit enjin V12 dengan piston yang bergerak. Lego juga berhasil menghadirkan sistem pacuan semua roda untuk model ini, berserta suspensinya sekali.

Oleh kerana ia sebuah binaan yang rumit, maka harganya pun tidaklah murah. Ia akan dijual melalui Lego Certified Stores dan Legoland Malaysia bermula 1 Jun 2020 pada harga RM1,599.90, sebelum memasuki pasaran lain bermula Ogos nanti. Semua pembelian di Malaysia akan diberikan model mini Lego Lamborghini, selagi stok masih ada. Pembeli juga akan menerima cenderahati eksklusif Lamborghini bermula 1 hingga 21 Jun ini.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: