Pusat Teknologi Getah Wilayah Timur masih dalam perancangan

- Advertisement -
KUALA LUMPUR: Cadangan pembangunan Pusat Teknologi Getah Wilayah Timur di Jerantut, Pahang masih dalam peringkat perancangan dan belum dipertimbangkan atau diluluskan oleh Lembaga Pengarah LGM, Kementerian Perusahaan Perladangan Dan Komoditi (MPIC) serta kerajaan, demikian kata Pengerusi LGM, Datuk Ahmad Nazlan Idris.
Beliau berkata, projek itu akan dihantar untuk kelulusan setelah kajian daya maju secara menyeluruh dilakukan serta impak terhadap kemudahan penyelidikan lain di bawah LGM sebelum dibentangkan ke pihak Lembaga Pengarah LGM.
“Hanya selepas mendapat kelulusan Lembaga Pengarah barulah projek ini akan dibawa untuk kelulusan MPIC dan kerajaan. Usaha penyelidikan di peringkat LGM tidak pernah terputus dan LGM sentiasa mengutamakan sektor penting iaitu huluan (perladangan
getah), pertengahan (pemprosesan getah) dan hiliran (pembuatan produk getah),” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai status projek berkenaan susulan beberapa laporan media tempatan pada 25 Mei 2020 yang memetik kenyataan mantan menteri yang mengatakan tentang kelulusan untuk menggunakan dana awam sebanyak RM100 juta bagi membina Pusat Teknologi Getah Wilayah Timur di Jerantut, Pahang.
Ahmad Nazlan yang juga Ahli Parlimen Jerantut berkata, keperluan penyelidikan dan pembangunan yang berterusan dan komprehensif di pusat penyelidikan LGM bagi teknologi utama seperti pembangunan klon terkini sangat penting bagi menjamin produktiviti di peringkat huluan supaya pembekalan bahan mentah yang diperoleh di peringkat pertengahan dan hiliran dalam kualiti yang terbaik.
Beliau berkata, ia juga secara tidak langsung dapat menambahkan pengeluaran getah negara melalui pengurusan model komersil oleh perbadanan LGM di samping membantu usaha penyelidikan klon dan teknologi untuk industri getah negara.
Katanya, LGM melalui perancangan strategik dan keperluan penyelidikan memerlukan kawasan untuk dijadikan pusat penyelidikan teknologi industri getah.
“Objektif utama pembangunan pusat penyelidikan teknologi di kawasan berlainan di serata Malaysia termasuk di Pantai Timur adalah bertujuan untuk memastikan masa hadapan industri getah negara lebih maju, dengan pendapatan di peringkat huluan dan hiliran sama-sama ditingkatkan bagi kemampanan industri getah Malaysia.
“Dimaklumkan bahawa proses kelulusan pembangunan tanah berfungsi sebagai pusat penyelidikan perlu melalui prosedur lengkap yang telah ditetapkan, yang mana setelah kertas kajian daya maju komprehensif dan kertas cadangan dibentangkan oleh pengurusan LGM dan diperakui oleh Lembaga LGM, ia seterusnya perlu mendapat kelulusan Menteri dan Kabinet sebelum ia boleh dilaksanakan,” katanya.