Advertisements

Pakej rangsangan digitalisasi perkasa PKS

08

KETIKA kita memasuki fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan berlangsung hingga 9 Jun ini, strategi ‘keluar’ semakin menjadi keutamaan.

Strategi keluar amat diperlukan waktu ini kerana jika tidak, kita akan mengorak ke lembah ketidaktentuan. Ini memburukkan keadaan peniaga dan menghakis keyakinan rakyat, sekali gus mengeruhkan lagi keadaan ekonomi secara keseluruhannya.

Strategi keluar haruslah berpandu dua objektif utama. Pertama, memastikan kita dapat mengurangkan dan mengurus dengan baik kesan krisis COVID-19 dalam hal keselamatan kesihatan awam. Kedua, memastikan kita di jalan dan landasan betul menuju pemulihan ekonomi.

Jadi, apakah bentuk strategi keluar boleh kita praktikkan? Buat masa ini, kita masih dalam tahap perancangan dan persiapan strategi keluar – yang seharusnya merangkumi dimensi ekonomi serta kesihatan awam.

Dalam erti kata lain, keperluan strategi keluar harus diseimbangkan dengan langkah berhati-hati dan kewaspadaan pihak kesihatan awam. Ini terutama sekali apabila risiko gelombang jangkitan baharu (yang kini masih dalam angka dua digit) sentiasa ada.

Kedua-dua dimensi ini (ekonomi dan kesihatan awam), nampak sudah seimbang ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekarang kita sedang beransur-ansur melonggarkan syarat bagi peniaga memulakan semula operasi perniagaan mereka melalui PKPB.

Artikel oleh Eoin Daly daripada McKinsey Malaysia bertajuk Bagaimana Negara Ekonomi Maju Harus Membantu Ke Arah Pemulihan Ekonomi Pasca-Pandemik mempunyai lima fasa pelbagai negara menggunakannya untuk menangani krisis COVID-19. Antaranya, ‘bertahan’, ‘kembali’ dan ‘imaginasi semula.’

Untuk fasa ‘imaginasi semula’, saya ingin menzahirkan beberapa pandangan dengan tumpuan khusus terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Ia sejajar seruan semasa kepada PKS supaya memanfaatkan masa sukar ini untuk berubah ke arah digitalisasi atau dalam talian.

Menjelang pasca-PKP dan COVID-19, ia waktu terbaik bagi PKS memulakan semula perniagaan mereka di platform lebih kukuh untuk berkembang maju dalam jangka masa panjang.

Oleh itu, saya mencadangkan kerajaan melancarkan satu lagi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) 3.0 yang juga boleh dimasukkan ke dalam pelan pemulihan ekonomi sekurang-kurangnya untuk jangka masa sederhana hingga jangka masa panjang (iaitu dalam jangka masa lima tahun).

Kali ini, sasarannya lebih kepada infrastruktur merangkumi digital dan juga fizikal dalam mendukung usaha digitalisasi. Untuk infrastruktur digital, ia infrastruktur yang membolehkan dan memperkasakan kesalinghubungan pada kelajuan lebih tinggi seperti rangkaian gentian optik dan teknologi 4G (sekarang terdapat 5G tanpa wayar) dan pengkomputeran awan atau pelayan maya (internet).

Bagi melengkapkan platform ini, infrastruktur fizikal perlu menuju digitalisasi, dengan menjadi tuan rumah kepada infrastruktur digital seperti kabel yang mengandungi jaringan gentian optik dan pusat pangkalan data yang menjadi tempat untuk pengkomputeran awan.

Pakej rangsangan harus terhad kepada dua perkara ini sahaja. Ia untuk memastikan pakej rangsangan ini muncul tepat pada masanya, disasarkan untuk golongan memerlukannya dan bersifat sementara.

Sementara bermaksud defisit yang lebih tinggi tidak akan mengganggu konsolidasi fiskal. Sebagai contoh, pusingan pertama pelaburan awam akan terbatas kepada penyediaan infrastruktur fizikal (seperti dijelaskan di atas) dan kemasukan infrastruktur digital pada tahap selanjutnya.

Dengan membina infrastruktur fizikal terlebih dahulu – sebagai asas – ia membolehkan sektor swasta ‘tunggu dan lihat’ untuk perkembangan selanjutnya.

Selepas asas ini dibentuk, ia memberi isyarat kesediaan infrastruktur digital untuk dilaksanakan dan pelaburan sektor swasta juga dapat didorongkan. Ini akan meningkatkan kerjasama awam-swasta (pihak atasan dan pertengahan) dengan kesan limpahan berganda.

Infrastruktur fizikal boleh dibentuk daripada zon perdagangan bebas digital (DFTZ) atau hab e-dagang sebagai laman platform baharu dalam menyediakan perkhidmatan khususnya untuk PKS.

Selain itu, Hab Digital dan Futuris harus ditubuhkan di setiap negeri untuk mempromosikan generasi baharu PKS cerdik teknologi.

Hab ini akan mengandungi makmal infrastruktur hijau, inkubator dan pod untuk inovasi, eksperimen, penciptaan teknologi baharu dan teknologi masa hadapan yang diwujudkan daripada pelbagai kluster kecerdasan buatan (AI), teknologi nano, percetakan tiga dimensi (3D), kejuruteraan bio-perubatan, pembedahan berpandukan komputer, sistem maklumat geografi (GIS), sistem kedudukan global (GPS), internet untuk segalanya (IOT) dan data raya.

Ini akan melengkapkan lokasi teknologi sedia ada seperti HLX (Kuala Lumpur) sebagai pusat setempat dan ‘titik penumpuan’ bagi PKS dalam bentuk teknopreneur bersama penaja mereka, iaitu pemodal.

Inisiatif itu boleh dibentuk menjadi kerjasama awam-swasta (PPP) antara PKS dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Di samping itu, infrastruktur digital harus melengkapkan dan menambahbaik Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara. Akhir sekali, disebabkan ramai dalam kalangan PKS mengalami masalah aliran tunai dan kesulitan untuk mengakses kredit bank, keutamaan kerajaan dalam membuka jalan untuk strategi keluar adalah seperti berikut:

Kurangkan red-tape dan tempoh masa pemprosesan, percepatkan dan permudahkan prosedur pemprosesan permohonan kredit. Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) sedang melaksanakan langkah itu melalui Bank Rakyat, SME Bank Bhd dan Tekun Nasional.

Potongan cukai untuk PKS – untuk semua kategori. Secara keseluruhannya, pelaburan dalam infrastruktur digital dapat menjadi pemangkin dan dorongan bagi PKS dalam memanfaatkan peruntukan yang sudah tersedia untuk digitalisasi – di bawah Belanjawan 2019 & 2020 serta Pakej Rangsangan Ekonomi.

Advertisements

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: