Toyota jangka keuntungan operasi susut sebanyak 80%, jualan global bakal turun 1.5 juta unit tahun ini

- Advertisement -
Toyota menjangkakan keseluruhan keuntungan operasi untuk tahun 2020 dijangka susut sebanyak 80%, terendah dalam tempoh sembilan tahun, disebabkan wabak pandemik COVID-19. Malahan pengeluar automotif ini turut menjangkakan jualan keseluruhan juga akan bergerak perlahan untuk sepanjang tahun ini, dengan jualan global dijangka turun lebih 1.5 juta unit berbanding tahun lalu.
Syarikat ini turut meramalkan keuntungan operasi sebanyak 500 bilion yen (RM20.23 bilion) sehingga Mac 2021, menyusut dari 2.44 trilion yen (RM98.7 bilion) yang dicapai dalam tahun baharu berakhir, laporan Reuters.
“Coronavirus menjadi penyebab kemelesetan ekonomi, lebih teruk berbanding krisis ekonomi dunia pada tahun 2008. Kami menjangkakan jumlah jualan yang menyusut teruk pada peringkat global,” ujar presiden Akio Toyoda pada minggu lalu.
Ia turut meramalkan jualan di peringkat global dengan sebanyak 8.9 juta kenderaan pada tahun ini, menyusut berbanding 10.46 juta unit yang dicapai pada tahun sebelum ini. Malahan jualan tersebut juga dijangka tidak dapat menandingi jumlah pada tahun 2019, sehingga tahun hadapan.
Disebabkan faktor tersebut, bahagian produksi juga telah dikurangkan pengeluaran berikutan permintaan pasaran yang lemah. Di Jepun, pengeluaran kenderaan akan dikurangkan sehingga 122,000 unit pada Jun dengan 15 kilang produksi dihentikan selama empat hari pada bulan hadapan. Sebelum ini, pengeluar kenderaan tersebut juga dilaporkan akan mengurangkan produksi di Amerika Utara sehingga Oktober ini.
Walau pun keuntungan merosot dan juga melibatkan penurunan margin, namun Toyota akan menyalurkan lebih dari satu trilion yen (RM40.4 bilion) untuk perbelanjaan modal dan pelaburan R&D, di mana peruntukan tersebut tidak berubah sejak tahun lalu. Ini kerana Toyota tidak mahu berhenti melabur untuk masa hadapan, ujar pegawai operasi Koji Kobayashi.