Isuzu Malaysia akan mempercepatkan penghantaran kenderaan yang ditempah selepas beroperasi semula

- Advertisement -
Selepas beroperasi semula, Isuzu Malaysia nekad untuk memberikan keutamaan bagi mempercepatkan penghantaran kenderaan, terutama bagi pelanggan yang telah membuat tempahan sebelum tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.
Menurut Isuzu, sebanyak 300 tempahan telah diterima sebelum PKP dilaksanakan, dan keutamaan akan diberikan untuk memastikan semua pelanggan menerima kenderaan mereka secepat mungkin selepas operasi perniagaan telah disambung semula.
“Walaupun pelanggan memahami keadaan yang menyebabkan kelewatan ini, kami juga faham bahawa ketika di dalam keadaan mencabar seperti sekarang, mereka memerlukan kenderaan Isuzu untuk membantu mereka terus bergerak. Adalah menjadi matlamat kami untuk memastikan semua pelanggan menerima kenderaan Isuzu D-Max baharu mereka secepat mungkin,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Masayuki Suzuki.
Isuzu turut berkata, buat masa ini, usaha-usaha sedang dijalankan untuk memastikan tempoh memproses kenderaan-kenderaan terbabit menjadi lebih cepat, bermula dari kilang di Pekan, Pahang dan kemudian dihantar kepada pengedar di seluruh negara.
Malahan proses serahan juga kini diperbaharui dan disesuaikan bagi memastikan pelanggan dan staf dilindungi serta selamat, selari dengan prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan oleh kerajaan bagi membasmi penularan berterusan virus Covid-19.
“Prosedur bagi Sistem Serahan Isuzu telah dikemaskini untuk diselaraskan dengan cadangan dan saranan kerajaan Malaysia dalam berhadapan dengan pandemik ketika ini. Kami percaya, kenderaan Isuzu yang mempunyai nilai tinggi terhadap semua pelanggan akan terus menerima permintaan bagi memenuhi keperluan mereka. Untuk itu, kami berusaha mewujudkan suasana paling kondusif dan selamat untuk semua,” jelas Suzuki lagi.
Pemilik kenderaan Isuzu yang tempoh jaminan kenderaan mereka telah tamat ketika tempoh PKP secara automatik akan menikmati lanjutan 30 hari mulai 13 Mei 2020. Sementara bagi kenderaan yang sudah terlepas jadual servis yang sepatutnya pula tidak perlu risau kerana jaminan kenderaan tidak akan terkesan disebabkan kelewatan itu.
Pelanggan yang berhasrat membawa kenderaan mereka untuk diservis adalah dinasihatkan membuat temujanji terlebih dahulu dengan pusat servis rasmi Isuzu mereka memandangkan semua cawangan beroperasi di bawah peraturan PKPB yang ketat mengikut negeri masing-masing ketika ini.