InvestKL tarik pelaburan RM13.95 bilion

- Advertisement -
KUALA LUMPUR: Malaysia terus menjadi destinasi pelaburan antara terpenting syarikat multinasional global (MNC) dan berjaya mewujudkan peluang pekerjaan sejak 2011.
Ia terbukti selepas InvestKL berjaya menarik sejumlah 91 MNC dengan pelaburan komited dan diluluskan mencecah RM13.95 bilion, termasuk mewujudkan 12,584 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serantau dalam tempoh 2011-2019.
Pencapaian itu selaras dengan 91 peratus mandat InvestKL 2020 dan agensi itu optimistik dalam berhati-hati untuk mencapai sasaran 100 MNC menjelang akhir tahun.
Mengulas mengenainya, Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata pencapaian yang diraih itu adalah bukti keyakinan pelabur asing terhadap persekitaran perniagaan dan tadbir urus negara.
“Bagaimanapun, InvestKL perlu mengukur semula dan menambahkan nilai yang lebih besar ke atas strategi pelaburannya bagi mendepani kebimbangan berhubung pandemik COVID-19 dan impak negatif terhadap pelaburan langsung asing seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Dalam tempoh lapan tahun dari 2011-2019, sejumlah RM8.1 bilion atau 58 peratus daripada pelaburan RM13.95 bilion sudah direalisasikan, di mana 8,858 atau 70 peratus daripada 12,584 pekerja berkemahiran tinggi serantau sudah diambil bekerja dengan purata pendapatan tahunan mencecah RM141,622.
Ketua Pegawai Eksekutif InvestKL, Muhammad Azmi Zulkifli, berkata agensi yang mempromosi pelaburan milik kerajaan sudah menarik 13 MNC bernilai serta berteknologi tinggi tahun lalu dan memberi sumbangan terhadap sektor perkhidmatan yang terus menjadi tonggak pertumbuhan ekonomi Malaysia.
“Ia membabitkan pelaburan komited dan diluluskan mencecah RM2.2 bilion, dengan jumlah pewujudan pekerjaan serantau berjumlah 1,308,” katanya.
Daripada 13 MNC yang dinyatakan, sejumlah 70 peratus adalah dari Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Eropah.
IA merangkumi syarikat Fortune 500 dan Forbes 2000 seperti Edwards Lifesciences Corporation (AS); Splunk (U.S.); General Electric (AS); Astra Zeneca (UK); ABB (Swiss-Swedish); Schindler (Swiss); CMA CGM (Perancis); TUI (Jerman); dan SCM (Itali).
Baki 30 peratus lagi membabitkan syarikat Asia seperti Daifuku (Jepun); Vanke (China); CRRC Corporation (China); dan SRKay Consulting (India).
Muhammad Azmi berkata, selain menawarkan pekerja Malaysia berkemahiran tinggi serantau, 91 MNC turut menawarkan nilai tambah serta manfaat yang signifikan kepada perniagaan tempatan termasuk sektor hartanah, perhotelan, pendidikan, perubatan, pelancongan dan hiburan.
“Sektor hartanah menikmati anggaran sewa tahunan RM156.8 juta bagi ruang pejabat tahun lalu atau bersamaan dengan tahap sewaan sekitar 50 tingkat Menara Berkembar Petronas,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia kekal memiliki asas yang kukuh dan destinasi menarik kepada pelabur.
Katanya, walaupun dunia berdepan COVID-19, InvestKL mengekalkan sasaran 2020 untuk menarik 12 MVC berteknologi, bernilai dan berimpak tinggi untuk melabur di Kuala Lumpur.
“InvestKL mensasarkan pelaburan dalam sektor seperti teknologi, produk pengguna dan perindustrian, alat perubatan, teknologi perubatan, teknologi pintar dan tenaga boleh diperbaharui.
“Asas Malaysia kekal kukuh dan menarik bagi pelabur. Walaupun dalam keadaan krisis wabak COVID-19, kami tetap dalam perbincangan aktif dengan bakal pelabur dari AS. dan Eropah. Walaupun sebilangan pelabur mengambil pendekatan tunggu dan lihat, yang lain tetap komited terhadap pelaburan mereka kerana mereka berpandangan jangka panjang.
“Selain itu, China terbuka kepada perniagaan dan ini adalah berita baik kepada kami. Kami sedang berbincang dengan syarikat China dan MNC global dari sektor teknologi, logistik dan pembuatan yang berminat untuk mengembangkan kapasiti mereka atau menubuhkan ibu pejabat serantau di sini,” katanya.