Polestar perkuatkan hubungan dengan pengeluar motosikal elektrik CAKE – berkongsi nilai sama

- Advertisement -
Polestar, yang merupakan satu jenama di bawah Volvo dan Geely mengumumkan kerjasama dengan syarikat pengeluar motosikal elektrik iaitu CAKE di Eropah, setelah CEO untuk kedua-dua syarikat melihat perniagaan mereka mempunyai persamaan nilai.
Antara persamaan yang dimaksudkan adalah kedua-duanya jenama dari Sweden, menggunakan rekaan Scandinavian, mengeluarkan produk pacuan elektrik serta cara baru dalam pemasaran, jenama dan cara jualan kepada pelanggan.
“Polestar rasa seperti ada hubungan dengan CAKE, berkongsi kepercayaan yang sama dalam memberi makna kepada prestasi serta semangat terhadap rekaan. Keinginan kami untuk menghasilkan masa depan tanpa emisi dan menggunakan kuasa elektrik adalah penghubung kuat antara kami,” kata CEO Polestar, Thomas Ingenlath.
Polestar sebelum ini memang sudah mempunyai kerjasama dengan CAKE, tetapi ia setakat CAKE membawa motosikal elektrik mereka ke acara tertentu Polestar. Kini, hubungan itu diperkuatkan lagi apabila Polestar bersetuju untuk mempamerkan motosikal CAKE di dalam pusat pameran Polestar Spaces di Eropah.
“Industri motosikal sedang berhadapan anjakan sama ke arah penggerak elektrik seperti industri kereta, dan CAKE berada di hadapan. Harapnya orang ramai boleh meneroka motosikal elektrik teknologi tinggi yang kami hasilkan ini,” kata CEO CAKE, Stefan Ytterborn.