Pahang tak benarkan sambut Aidilfitri rentas daerah

- Advertisement -
Walaupun Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan aktiviti ziarah merentas daerah ketika Aidilfitri nanti dibenarkan oleh kerajaan, lain pula arahan untuk rakyat Pahang – polis mengingatkan orang ramai bahawa pergerakan rentas daerah tidak dibenarkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Pahang ketika sambutan Hari Raya hujung bulan ini, lapor Berita Harian.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali, arahan larangan ini dibuat susulan kesukaran memantau orang ramai supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKPB yang ditetapkan pihak kerajaan. Namun beliau turut menjelaskan aktiviti ziarah Aidilfitri di rumah jiran dalam kawasan taman perumahan sama masih dibenarkan dengan mengawal kunjungan tetamu supaya tidak terlalu ramai.
“Aktiviti ziarah Aidilfitri antara daerah dengan daerah tidak benarkan sama sekali kerana ia membabitkan jarak jauh, ziarah yang terbaik adalah dalam satu taman kerana kita pasti mengetahui status jangkitan Covid-19 di kawasan taman terbabit.
“Kita bimbang jika ziarah rentas daerah dilakukan ia boleh mengundang penularan jangkitan wabak Covid-19 memandangkan kita tidak mengetahui tahap atau status kesihatan individu yang datang berkunjung rumah.
“Kali ini masyarakat perlu menerima hakikat bahawa sambutan Aidilfitri tidak semeriah sebelum ini kerana kita sedang berdepan dengan wabak yang belum selesai,” terangnya.
Minggu lalu, Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyebut dalam satu wawancara kerajaan tidak membenarkan ziarah Aidilfitri merentas daerah kerana adalah sukar untuk memastikan setiap rumah mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Kementerian Kesihatan berkaitan pencegahan Covid-19.
Walau bagaimanapun pada Ahad lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memberikan kelonggaran untuk umat Islam menziarahi ahli keluarga terdekat dalam negeri masing-masing dengan syarat ianya dibuat dengan had maksimum 20-orang pada satu-satu masa serta harus mengikut SOP yang ditetapkan termasuk penjarakan sosial, memakai penutup hidung dan mulut serta mementingkan kebersihan.
Selepas Perdana Menteri mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 4 Mei lalu, kerajaan telah memberi kelonggaran bergerak secara beransur-ansur. Buat masa sekarang, rakyat tidak lagi perlu untuk berseorang di dalam kenderaan, perjalanan melebihi radius 10 km sudah dibenarkan, dan tiada lagi had perjalanan hanya sehingga 10 malam. Namun pergerakan untuk merentas negeri masih lagi belum diberikan.