Proton Satria Neo-X — jelmaan crossover dua pintu

- Advertisement -
Kebelakangan ini, semangat dan roh Proton Satria Neo banyak kali diseru semula. Entahkan jadi kebetulan, macam ada isyarat atau panggilan-panggilan bahawa ramai ketika ini yang rindukan hatchback dua-pintu berkenaan. Anda perasan perkara yang sama atau tidak?
Spotlight paling besar yang diterima Satria Neo – walaupun hanya sebagai tempelan – ialah dalam sebuah filem Netflix yang mendapat perhatian umum dan banyak dibincangkan seminggu dua ini, apa lagi kalau bukan filem Extraction lakonan Chris Hemsworth.
Oh, sementara tengah menyentuh tentang filem, kalau anda belum tahu, kami juga ada sediakan senarai filem-filem produksi luar negara yang di dalamnya ada memaparkan penampilan model-model Proton. Ada 10 semuanya, bukan main kerap kereta Proton masuk ke layar tivi.
Kemudian, ia mendapat sentuhan daripada Theophilus Chin, yang kerja rekaan digitalnya banyak kami paparkan di laman ini. Tetapi, dia tidak membayangkan semula Satria Neo sebagai sebuah model baru seperti yang biasa dilakukan. Sebaliknya ia menghasilkan rekaan kacuk antara model berkenaan tetapi dalam versi Proton Iriz Neo dua-pintu. Anda dah tengok yang ini?
Kali ini, seorang lagi yang namanya tidak perlukan pengenalan panjang jika anda kerap mengikuti laman ini, Saharudin Busri (@saharudindesign) turut menghalakan perhatiannya kepada Proton Satria Neo. Tetapi, menurut beliau, ini bukanlah rekaan baru sepenuhnya.
Sebelum ini, beliau pernah mengasilkan satu rekabentuk digital Satria GTi facelift yang pernah dibuat dahulu. Dari asas rekaan tersebut, banyak ubah suai yang dilakukan semula untuk menghasilkan pula rekaan ini,yang dipanggil Satria Neo-X.
Dan kali ini, Satria Neo dibayangkan pula sebagai sebuah model crossover. Ini adalah lanjutan daripada perkembangan terbaru Proton sendiri yang banyak memberi tumpuan kepada pengeluaran model SUV sejak setahun dua ini — X70 CKD sudah, menyusul selepas ini ialah Proton X50 pula.
Andaiannya adalah, Satria Neo-X ini adalah idea untuk mengubahsuai platform atau kerangka dari model sedia ada untuk dijadikan sebuah kereta yang lebih besar dan tinggi. Rekabentuk penuh bahagian badan sebenarnya masih sama seperti Satria Neo.
Cuma untuk menjadikan imejnya lebih padan sebagai sebuah SUV atau crossover, rekaan lampu depan dan bampar diberikan nafas baru – tambahan yang boleh dijangka sudah tentulah rekaan diffuser di bawah sekali. Gril juga lebih ringkas dengan satu jalur krom saja. Selebihnya bukaan “mulut” dan tempat meletak nombor plat dibiarkan besar dalam kemasan hitam.
Bahagian tepi, elemen body cladding digunakan seperti rekaan lazim model-model crossover yang semakin banyak dalam pasaran tempatan ketika ini. Untuk membuatkannya nampak tinggi, rekaan rim baru dengan saiz yang lebih besar digunakan. Garis bumbung walaupun kekal sama, ia ditambah dengan jalur permukaan serta landasan untuk bawa barang.
Bahagian belakang kelihatan sangat kemas. Walaupun ringkas, dengan lengkuk hatchback dari Satria Neo yang diberi sentuhan lebih sporty (perhatikan spoiler bersepadu dari bahagian bumbung), pintu ruang belakang ringkas dengan hanya menempatkan lampu belakang dua bahagian serta lencana nama Proton.
Yang menjadikannya lebih rendah dan lebar ialah rekaan bampar yang ditampilkan. Dengan ketebalan yang ketara, sudut tepi yang menempatkan bukaan udara serta diffuser belakang dengan ekzos berkembar, ia nampak betul-betul menyerap semangat prestasi daripada Satria GTi dahulu.
Secara keseluruhannya, rekabentuk yang ditampilkan ini nampak cukup menarik dan sporty. Tambahan dengan kesan bumbung terapung hitam yang berbeza dengan warna badan, ia bagaimanapun masih menyimpan rekaan asal Satria Neo seperti yang pernah kita kenal dulu. Jadi, apa pandangan anda tentang rekaan ini? Boleh lawan rekaan Geely?