Aplikasi KipleLive, KiplePay bantu perniagaan menerapkan norma baharu

0

08

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Syarikat tempatan, Green Packet Bhd melancarkan peranti KipleLive bagi membantu perniagaan Malaysia menerapkan norma baharu untuk mengatasi pandemik COVID-19.

Peranti yang mengintegrasikan Penyelesaian Pengimejan Terma itu menawarkan penyelesaian dan solusi menyeluruh bagi meringankan beban majikan untuk memendekkan masa prosedur standard operasi (SOP).

Ketua Pegawai Eksekutif KipleLive, Ti Lian Seng, berkata peralatan ini ada pelbagai fungsi termasuk mampu mengambil suhu badan, mengambil kehadiran pekerja menerusi pengimbasan muka dan boleh mengesan sama ada pekerja itu memakai pelitup muka atau tidak.

“Sebanyak empat jenis penyelesaian ditawarkan bergantung kepada kegunaan dan saiz bangunan yang mana ia boleh membuat kerja pengukuran sehingga sepantas 10 orang dalam tempoh sesaat,” katanya kepada BH.

Lian Seng berkata, antara masalah yang dihadapi majikan pada masa kini termasuk terasa beban dengan SOP yang dikuatkuasakan, keperluan untuk menguruskan peraturan baharu dalam tempat kerja, bimbang berlaku risiko jangkitan dalam kalangan kakitangan dan tidak bersedia dari segi pengurusan krisis.

“Bagi mengatasi isu sedemikian, syarikat perlu melihat teknologi digital yang diyakini berupaya mengurangkan beban dalam melaksanakan sebarang perubahan penting di tempat kerja.

“KipleLive menawarkan penyelesaian menyeluruh yang mana ia bukan sekadar mengambil suhu atau kehadiran semata-mata, tetapi juga mampu menyimpan segala data baik dari suhu, kehadiran, maklumat peribadi, menyelaraskan pergerakan kakitangan bagi meminimumkan sentuhan dan boleh menghalang individu yang disyaki mempunyai simptom daripada memasuki premis berkenaan,” katanya.

Empat penyelesaian yang ditawarkan ialah Sensetime Nebula-M berharga RM180,000 yang sesuai digunakan di kawasan awam atau terbuka seperti lapangan terbang, stesen kereta api, stesen bas, hospital dan ruang legar hotel.

Peranti itu mampu mengesan sehingga 10 orang pada satu masa serentak dalam tempoh sesaat, berupaya merekodkan sehingga 300,000 data dengan jarak pengukuran sejauh tiga meter.

Peranti KipLive berupaya mengurangkan risiko serta meningkatkan kecekapan pengimbasan kehadiran orang ramai di premis.
Peranti KipLive berupaya mengurangkan risiko serta meningkatkan kecekapan pengimbasan kehadiran orang ramai di premis.

SenseThunder-E dan SenseThunder-E Mini pula masing-masing dijual pada harga RM48,000 dan RM18,000 seunit. Kedua-duanya sesuai digunakan untuk kawasan terhad seperti pintu masuk bangunan, pusat beli belah, hotel dan bangunan kerajaan.

Sementara, KipleLive Thermal FR Scanner ditawarkan pada harga RM6,800 seunit, sesuai untuk kawasan kecil atau kawasan memerlukan jumlah peranti yang banyak seperti perusahaan kecil dan sederhana (PKS), sekolah dan kilang.

Ketiga-tiga peranti ini hanya boleh mengukur seorang individu dalam satu masa tetapi kepantasannya ialah sehingga 30 orang dalam tempoh seminit.

Teknologi diperkenal KipleLive mampu menyimpan data serta menyelaras kehadiran kakitangan selain mengesan individu mempunyai simptom daripada memasuki premis.
Teknologi diperkenal KipleLive mampu menyimpan data serta menyelaras kehadiran kakitangan selain mengesan individu mempunyai simptom daripada memasuki premis.

Ia juga boleh dihubungkan pada pagar atau pintu kawalan di laluan masuk premis atau bangunan bagi memastikan hanya mereka yang melepasi imbasan yang dibuat dengan peranti itu sahaja dibenarkan masuk ke bangunan berkenaan .

Lian Seng berkata, pihaknya juga menawarkan pelan sewa yang mana pelanggan boleh memilih untuk menyewa mengikut jangka masa diperlukan iaitu sama ada enam bulan, 12 bulan atau 24 bulan dengan kadar sewa bulanan bermula dari serendah RM449 sebulan.

“Kadar sewa ini sudah termasuk jaminan dan sokongan serta penyelenggaraan perisian dan perkakasan. Tempoh pemasangan adalah seawal sehari selepas pembayaran dilakukan namun tertakluk kepada lokasi,” katanya.

Sementara itu, Kiplepay Sdn Bhd kini mengorak langkah ke depan dengan menawarkan perkhidmatan kepada pelbagai khalayak dan pasaran Malaysia apabila melancarkan perkhidmatan e-bazar dengan kerjasama Gabungan Persatuan Peniaga Kecil dan Penjaja Melayu Malaysia (GPPPKMM) menggunakan aplikasi KiplePay.

Selain e-dompet, syarikat itu juga menyediakan perkhidmatan gerbang pembayaran (payment gateway) yang digunakan sewaktu transaksi dalam e-dagang kepada peniaga.

Kini, syarikat itu merancang untuk meneroka tiga segmen utama yang mempunyai potensi untuk memacu semula perniagaan dengan teknologi digital dalam norma baharu iaitu menyediakan perkhidmatan e-dompet, gerbang pembayaran dan menyediakan e-dompet label puth (white label provider), di mana ia membolehkan syarikat untuk melancarkan e-dompetnya sendiri.

Malah, KiplePay turut menyediakan aplikasi digital untuk peniaga yang mempunyai premis perniagaan untuk mengikuti garis panduan kerajaan serta menyediakan kemudahan kepada peniaga kecil yang menjual dalam media sosial seperti Facebook dan Whatsapp.

Ketua Pegawai Eksekutif Kiplepay Sdn Bhd, Kay Tan, berkata ia dibangunkan khusus untuk membantu memudahkan peniaga dalam media sosial untuk mengetahui dengan lebih lanjut dan pantas butiran pembayaran yang dibuat pembeli.

Ini kerana katanya, kebiasaannya apabila pembeli membuat pembayaran, mereka akan mengirim gambar bukti pembayaran kepada peniaga di Whatsapp dan selepas itu barulah peniaga akan mengepos barang yang dibeli berkenaan.

“Ketika ini, boleh dikatakan kebanyakan urusan jual beli dibuat secara manual. Namun, dengan sistem disediakan ini, peniaga boleh mencipta sendiri pautan pembayaran mereka dan kemudian berkongsikannya kepada pembeli di Whatsapp. Pembeli kemudian boleh membuat pembayaran di pautan berkenaan.

“Selepas pembayaran dibuat, peniaga akan menerima notifikasi pembayaran itu di emel mereka serta merta dan seterusnya boleh menyiapkan pesanan berkenaan untuk dihantar kepada pembeli,” katanya.

Sistem dikenali sebagai ‘1-click payment’ itu sememangnya disasarkan khusus untuk peniaga dalam media sosial dan boleh didapati di portal kiplebiz untuk pendaftaran.

Kay berkata, pihaknya tidak mengenakan sebarang bayaran yuran pendaftaran kepada peniaga pada masa ini berikutan penularan wabak COVID-19 dan pelaksanaan PKP.

Pihaknya juga menjamin segala transaksi bayaran dalam talian yang dibuat menggunakan sistem itu adalah selamat dan tempoh kelulusan pendaftaran pula adalah sepantas tiga hari.

“Caj yang dikenakan kepada peniaga hanyalah membabitkan caj transaksi yang dibuat jika pembayaran dibuat menggunakan sama ada kad kredit atau kad debit yang perlu dibayar kepada bank,” katanya.

Aplikasi kiplePay kini boleh dimuat turun di Google Play Store atau Apple App Store. Antara kemudahan lain yang ditawarkan di dalam aplikasi ini ialah tambah nilai mudah alih, bayaran bil, perkhidmatan penghantaran dan pemindahan wang.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: