Yamaha pernah tunjuk kereta konsep pada tahun 2015 tapi kenapa tidak diteruskan untuk pengeluaran?

0

13

- Advertisement -

Bagi kebanyakan orang, Yamaha lebih sinonim kepada motosikal dan juga alat muzik. Tapi sebenarnya, syarikat dari Jepun ini mempunyai banyak lagi produk berteknologi dan kerjasama dengan syarikat lain termasuklah pengeluar kereta. Contoh ringkas, enjin Beams (digunakan banyak model termasuk pada Altezza) dan 1JZGTE pun ada sentuhan Yamaha.

Pada tahun 2015, Yamaha membuat kejutan apabila membawa sebuah kereta konsep yang dinamakan sebagai Sports Ride Concept ke Tokyo Auto Show. Ia dihasilkan dengan kerjasama pereka kereta terkenal, Gordon Murray, dan sekaligus mewujudkan rasa teruja kepada orang ramai untuk melihat kenderaan ini masuk ke fasa produksi dan dijual kepada umum.

Untuk masa beberapa tahun, berita Yamaha akan mengeluarkan kereta untuk pasaran senyap seketika, tetapi ia timbul kembali pada tahun 2018 apabila Yamaha dijumpai mendaftar paten reka bentuk sebuah kereta di Eropah. Rekaan kereta tersebut walaubagaimanapun adalah berbeza berbanding kereta konsep yang ditunjukkan pada tahun 2015.

Ia menggunakan bentuk hatchback dua pintu yang kompak seperti Toyota MR2 serta lampu yang mempunyai iras seperti Lotus Exige. Anda juga boleh melihat Yamaha memberikan fokus kepada pengurusan angin dengan terdapat skup atas bonet dan bumbung, serta pelbagai garisan badan yang membantu pengaliran angin untuk menjadikan kereta lebih aerodinamik.

Keterujaan ini bagaimanapun tidak mencapai klimaks kerana pada tahun 2019 Yamaha membuat pengumuman mereka tidak akan mengeluarkan sebarang kereta bukan sahaja dalam tempoh jangka masa pendek, tetapi juga untuk tempoh yang lebih panjang. Antara sebab yang diberikan oleh presidennya, Yoshihiro Hidaka adalah mereka tidak rasa kereta tersebut boleh jadi lebih menonjol berbanding pesaingnya dan membuat keputusan untuk lebih fokus kepada penggerak jenis lain yang lebih kecil.

Apa pula pendapat anda? Adakah kereta Yamaha ini nampak menarik kalau dijadikan realiti untuk jualan umum? Melihat kepada bentuk, ia pastinya berada dalam segmen kereta sports yang lebih tertumpu dan harganya pasti lebih tinggi daripada kereta biasa. Kalau macam tu, makin seronoklah orang melontarkan ayat Yamahalll.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: