Kenal pasti teknologi, inovasi tempatan gempur COVID-19

0

08

- Advertisement -

Pengurusan krisis seperti COVID-19 memerlukan pendekatan bersepadu dan realistik, bukan menumpukan teknologi semata-mata walaupun ia membantu urusan menjadi lebih cekap.

Bersepadu merangkumi gabungan pendekatan konvensional dan teknologi moden seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mendisiplinkan diri, penjarakan sosial, amalan kebersihan, keluar daripada budaya kebiasaan dan membiasakan diri dengan situasi normal baharu.

Pendekatan teknologi moden pula seperti menggunakan pelbagai aplikasi pada telefon mudah alih, aplikasi kecerdasan buatan (AI), data raya, teknologi realiti maya, robotik dan banyak lagi.

Realistik pula merujuk kebolehan menggunakan pendekatan bersepadu tadi untuk berinteraksi dengan keadaan semasa dan berusaha menjawab serta mencipta nilai tambah dalam mengatasi wabak ini.

Realistik memerlukan kita bertindak balas secara tuntas dan betul terhadap penularan wabak yang kadang kala menafikan sementara keperluan teknologi yang memerlukan masa untuk kita mengemukakan penyelesaian pantas.

Contohnya, sejauh mana teknologi perubatan sedia ada boleh kita gunakan untuk mengubati pesakit COVID-19. Pada masa sama tumpuan teknologi untuk menghasilkan vaksin, memerlukan masa dan proses agak panjang.

Selain itu, sejauh mana pula teknologi seperti robotik sedia ada boleh digunakan sementara menunggu penghasilan robot lebih canggih dan kompleks untuk menyelesaikan masalah COVID-19 yang kini sudah bermutasi.

Di Korea, tanpa arahan PKP, teknologi AI dan data raya nampak berjaya disebabkan tahap kesiapsiagaan mereka dengan mempunyai pusat data terpusat dan semangat yang lebih yakin selepas pengalaman menewaskan wabak SARS dan MERS.

Ia bukan penyelesaian sekelip mata atau ad-hoc, tetapi hasil sesuatu yang dipelajari menerusi pengurusan pengetahuan semasa mendepani wabak sebelum ini.

Di China pula, penggunaan teknologi robot, dron, AI terus diperluaskan di samping arahan PKP yang lebih lama tempohnya. Di Jepun pakej rangsangan terbesar untuk rakyatnya dilancarkan.

Sebenarnya, tiada penyelesaian bersifat ‘satu untuk semua’. Justeru, gabungan pendekatan diperlukan dan ia mesti realistik terhadap konteks negara.

Di Malaysia, buat masa ini objektif kita memutuskan rantaian COVID-19. Kita melakukan PKP berperingkat, saringan pesakit berjangkit, mewartakan zon merah, hijau dan kuning, melaksanakan analisis data statistik untuk meratakan lengkungan bagi memacu tindakan betul dibuat oleh pembuat keputusan.

Pengujian massa bersasar juga mula dilakukan. Pakej rangsangan ekonomi dan bantuan kerajaan diwartakan. Namun, beberapa lagi mungkin kita boleh tambah baik dengan cara memperkasa kemampuan teknologi dimiliki.

Kerajaan mungkin perlu wujudkan task-force khusus mengenal pasti teknologi dan inovasi secara bersasar membabitkan pemegang taruh yang dapat mengetengahkan teknologi tempatan sedia ada, supaya dibawa segera ke medan pertempuran COVID-19.

Walaupun geran berkaitan ini diwujudkan, ia perlu dibezakan dana bersifat jangka pendek, sederhana dan panjang. Tidak semua dapatan daripada geran nanti dapat dilaksanakan untuk sasaran jangka pendek sekarang.

Mungkin ia sesuai untuk pasca COVID-19 seperti dana yang dilancarkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) baru-baru ini.

Penggunaan teknologi robot tempatan untuk tujuan diinfeksi dan dispenser ubat dan makanan di pusat kuarantin, hospital boleh diperkasakan segera.

Ini memerlukan dana secara top-down bersasar dengan mengenal pasti syarikat atau universiti yang sudah memiliki teknologi yang hampir matang.

Penggunaan AI dan data raya secara menyeluruh mungkin memerlukan sedikit masa di negara kita. Namun, sebenarnya Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) sudah menyediakan inisiatif pusat data terbuka sekian lama dan polisi perkongsian data serta kesediaan pusat data bersepadu sudah pun diwujudkan.

Apabila data dikongsi tersedia, standard dan berkualiti, serta wujud dasar dan governan yang menekankan perkongsian data berkualiti secara terbuka, ini membolehkan kejayaan AI lebih meluas dan bermakna.

Ekosistem pengurusan data bersifat ‘silo’ ada kelebihan, namun banyak kelemahan apatah lagi semasa berhadapan krisis yang memerlukan keputusan dibuat secara tuntas untuk negara.

Kita yakin, MAMPU dan agensi berkaitan sedang menumpukan usaha memberi makna kepada semua data ini untuk kebaikan negara. Menerusi platform ini, sudah tentu banyak aplikasi boleh dibangunkan untuk melawan virus.

Kesimpulannya, pendekatan bersepadu dan realistik adalah kaedah terbaik dalam menangani krisis.

Konteks sosioekonomi kita yang lebih kompleks memerlukan penyelesaian bersepadu yang kita sendiri lebih memahaminya.

Dalam konteks teknologi, sebenarnya, asas teknologi itu sudah pun ada, cuma memerlukan integrasi tenaga pakar tempatan dan kepemimpinan untuk melihat dan seterusnya memperkasakan dengan memberikan keutamaan dan pelaburan bersasar.

Selain itu, mentaliti awam perlu juga bersedia mematuhi arahan dan menggunakan teknologi yang tersedia.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: