Sektor tambahan yang terpilih akan dibenarkan untuk mula beroperasi — termasuk industri automotif

- Advertisement -
Petang tadi, di dalam ucapan berkaitan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 28 April, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan, beberapa sektor tambahan akan dibenarkan untuk memulakan operasi mereka bertujuan untuk menggerakkan ekonomi negara.
Terkini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telahpun mengedarkan pekeliling menjelaskan perkara itu dengan beberapa perincian lanjut. Menurut MITI, pihaknya telah memperhalusi sektor-sektor tambahan berkenaan dan menggariskan beberapa perkara yang melayakkan sektor berkenaan untuk beroperasi:
- tahap kepentingannya di dalam rantaian bekalan global (global value chain atau GVC) dan eksport negara. Langkah ini adalah untuk menjamin kestabilan aktiviti eksport
- aktiviti ekonomi sektor yang mempunyai gandaan nilai tambah (value-added multiplier) yang tinggi
- impak ke atas kelangsungan PKS dalam sektor ekonomi khususnya pembuatan dan perkhidmatan
- jumlah tenaga kerja yang terlibat
Automotif merupakan antara sektor tambahan yang terlibat, tetapi hanya terhad kepada beberapa aktiviti utama seperti eksport unit siap pasang sepenuhnya – CBU, peralatan dan komponen, serta perkhidmatan selepas jualan, contohnya penyelenggaraan.
Bagaimanapun, syarikat dalam sektor-sektor yang dinyatakan ini perlu membuat permohonan beroperasi kepada MITI bermula hari Isnin, 13 April 2020, dari jam 9.00 pagi. Semua permohonan perlu dibuat secara atas talian melalui laman http://www.miti.gov.my. Hanya permohonan yang menepati syarat dan lengkap sahaja akan diproses.
Dan, syarikat-syarikat yang dibenarkan untuk beroperasi itu pula wajib mematuhi syarat-syarat Standard Operating Procedure (SOP) yang ditetapkan, termasuk syarat-syarat yang ditetapkan oleh KKM dan garis panduan oleh lain-lain agensi penguatkuasaan yang berkaitan dari semasa ke semasa. Sebarang perlanggaran peraturan berkenaan akan dikenakan tindakan undang-undang. Bagaimanapun, tempoh masa permohonan dan untuk memulakan operasi yang akan diberi kelulusan tidak dinyatakan.
Sektor-sektor tambahan lain yang layak memohon untuk diberi kelonggaran operasi adalah:
- Industri mesin dan peralatan
- Industri aeroangkasa
- Projek-projek pembinaan dan perkhidmatan berkaitan pembinaan
(i) Projek di mana Kontraktor G1–G2 sebagai kontraktor utama
(ii) Projek yang telah disahkan mencapai kemajuan fizikal 90% ke atas
(iii) Kerja-kerja terowong
(iv) Kerja-kerja penyelenggaraan
(v) Kerja-kerja cerun
(vi) Kerja-kerja kecemasan yang termaktub dalam perjanjian kontrak
(vii) Kerja-kerja penyelenggaraan, pembersihan dan pengeringan air
bertakung, penyemburan racun serangga di tapak bina bagi mengelakkan
pembiakan nyamuk Aedes dan lain-lain haiwan perosak
(viii) Kerja-kerja lain yang jika tidak disempurnakan boleh mendatangkan
bahaya
(ix) Projek bangunan dengan 70 IBS score ke atas
(x) Projek pembinaan dengan fasiliti/ kemudahan tempat tinggal untuk pekerja
seperti Kuarters Pekerja Berpusat atau kem pekerja
(xi) Perkhidmatan profesional yang terlibat dalam industri pembinaan termasuk
arkitek, jurutera perancang bandar, juru-ukur tanah, juru ukur bahan, pengurus projek, pengurus fasiliti dan lain-lain berkaitan. - Perkhidmatan sains, profesional dan teknikal termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D)
– (hanya terhad kepada: perkhidmatan berkaitan guaman; perkhidmatan berkaitan minyak & gas; aktiviti-aktviti R&D berkaitan Covid-19; makmal- makmal ujian bagi sektor-sektor yang dibenarkan beroperasi sahaja. - Perkhidmatan kesihatan sosial termasuk perubatan tradisional yang berdaftar (hanya terhad kepada Traditional and Complementary Medicine or TCM practitioners)
- Perkhidmatan kedai hardware, kedai barangan elektrik dan elektronik dan kedai cermin mata sahaja dalam pemborongan dan peruncitan
- Perkhidmatan gunting rambut asas (gunting sahaja)
- Perkhidmatan dobi (servis penuh dan bukan layan diri)