Nilai skuad EPL susut RM8.6 bilion

- Advertisement -
LONDON: Nilai pasaran skuad dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dianggarkan turun sebanyak RM8.6 bilion susulan pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia ketika ini.
Menurut laman web rasmi statistik bola sepak, Transfermarkt, nilai pemain itu dikira menggunakan pelbagai data.
Laman web itu menjangkakan penurunan yang drastik terhadap nilai pasaran dengan Manchester City mengalami kerugian yang paling teruk sebanyak RM1.2 bilion.
“Harga pasaran saham jatuh,” kata pengasas laman web itu, Matthias Seidel.
“Banyak kelab akan diancam insolvensi dan pelan perpindahan akan terhenti kerana banyak ketidakpastian.”
Transfermarkt menggunakan pelbagai statistik termasuk usia pemain, tempoh baki kontrak dan yuran perpindahan sebelum ini.
Statistik itu kemudiannya dibincangkan bersama komuniti laman web berkenaan sebelum tampil dengan anggaran jumlah nilai pasaran yang sebenar.
Dengan krisis COVID-19 yang masih belum ada tanda-tanda akan berhenti, nilai bagi yuran perpindahan pemain turut dijangka mengalami penurunan.
Nilai pemain yang lahir sebelum tahun 1998 dijangka turun sebanyak 20 peratus manakala pemain lahir selepas 1998 turun 10 peratus.
Ini kerana nilai pemain yang berusia 22 tahun dan ke bawah lebih tinggi berbanding pemain yang lebih tua.
Situasi itu menyaksikan skuad yang memiliki pemain berusia 22 tahun ke atas akan mengalami penurunan nilai pasaran yang banyak.
Pemain sayap Manchester City, Raheem Sterling, 25, masih kekal sebagai pemain termahal EPL tetapi nilai pasarannya jatuh sebanyak RM156 juta kepada RM619 juta.
Secara keseluruhan, nilai pasaran skuad City jatuh daripada RM5.9 bilion kepada RM4.9 bilion.
Pendahulu EPL, Liverpool menjadi pasukan kedua mengalami kejatuhan nilai pasaran terbanyak dengan penurunan sebanyak RM1.1 bilion terhadap skuad itu yang memiliki pemain bintang seperti Mohamed Salah, Sadio Mane dan Virgil van Dijk.
Norwich City dianggarkan mengalami kejatuhan yang paling kurang apabila hanya jatuh sebanyak RM113 juta kepada RM640 juta.
Ini disebabkan majoriti pemain utama kelab itu seperti Todd Cantwell, Max Aarons, Ben Godfrey dan Jamal Lewis – semuanya lahir selepas tahun 1998. – Agensi
Nilai Pasaran Pemain EPL
————————————————-
Nama Nilai Sekarang Beza
————————————————–
Raheem Sterling RM619 juta RM156 juta
————————————————–
Kevin de Bruyne RM580 juta RM156 juta
————————————————-
Harry Kane RM580 juta RM145 juta
————————————————–
Mohamed Salah RM580 juta RM145 juta
————————————————
Sadio Mane RM580 juta RM145 juta
————————————————
Nilai Pasaran Kelab EPL
————————————————
Nama kelab Nilai sekarang Beza
————————————————
Manchester City RM4.9 bilion RM1.2 bilion
————————————————–
Liverpool RM4.6 bilion RM1.1 bilion
————————————————-
Tottenham RM3.3 bilion) RM1.1 bilion
————————————————-
Chelsea RM3.2 bilion RM720 juta
————————————————-
Man United RM3.1 bilion RM731 juta
————————————————–