COVID-19: Teknologi Huawei bantu Kementerian Kesihatan

- Advertisement -
KUALA LUMPUR: Huawei Malaysia menyalurkan bantuan berbentuk teknologi kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memerangi penularan COVID-19.
Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, Michael Yuan, berkata berikutan peningkatan kes COVID-19, keberkesanan komunikasi dan pertukaran data adalah penting untuk memeriksa individu yang dijangkiti selain mengawal penyebaran jangkitan.
Beliau berkata, Penyelesaian Respon Kecemasan Kesihatan Awam Huawei akan membolehkan pakar penjagaan kesihatan bekerjasama dengan petugas barisan hadapan menjalankan perundingan dalam talian.
Ia juga, katanya, akan meningkatkan kecekapan dan keberkesanan diagnosis serta rawatan, selain memastikan terdapat komunikasi berterusan secara langsung antara kerajaan serta hospital awam, melalui sidang video dan keupayaan sambungan tanpa wayar.
“Huawei sentiasa bersedia untuk menyokong Malaysia dalam memerangi COVID-19. Huawei Malaysia telah mengambil langkah pencegahan yang ketat untuk meningkatkan keselamatan dan perlindungan pekerja.
“Operasi kami akan diteruskan bagi memberikan perkhidmatan kepada pelanggan, menjamin operasi rangkaian yang lancar dalam masa kritikal ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba menghargai penyelesaian teknologi Huawei itu dalam membantu negara memerangi COVID-19.
“Penghargaan kepada Huawei Malaysia di atas penyelesaian teknologi ini. Melalui sumbangan mereka, kami meneruskan usaha untuk membanteras pandemik ini dengan seberapa segera,” katanya dalam pertemuan dengan Huawei Malaysia, baru-baru ini.
KKM telah menerima empat jenis bantuan daripada Huawei yang dapat mengurangkan kesukaran petugas barisan hadapan.
Bantuan teknologi pertama adalah Huawei Telemedicine Video Conference, penyelesaian yang berasaskan teknologi terbaru H.265, menawarkan pengalaman panggilan video HD penuh yang mampu beroperasi dalam rangkaian jalur lebar terhad.
Penyelesaian kedua pula adalah Komunikasi Rangkaian Tanpa Wayar Hospital yang menyediakan rangkaian tanpa wayar di hospital, wad, dan khemah perubatan kecemasan.
Ketiga adalah penyelesaian Pengesanan Auto AI Cloud, yang mana melalui teknologi ini, kakitangan hospital dapat mengenal pasti pesakit yang dijangkiti untuk menerima rawatan awal serta dikuarintin dengan segera.
Selain itu Huawei turut memberi sumbangan 200 unit telefon pintar HUAWEI nova 7i untuk kakitangan perubatan di hospital untuk memudahkan mereka berkomunikasi dan menghantar maklumat.