Hasilkan pelindung muka guna teknologi digital

09

- Advertisement -

LEMBAGA Multimedia Sarawak (SMA) melalui Unit Kampung Digital bekerjasama dengan komuniti pembuat di Sarawak menghasilkan pelindung muka untuk petugas barisan hadapan menangani Covid-19.

Pengurus Besar SMA, Dr Zaidi Razak berkata, alat pelindung diri (PPE) itu dihasilkan menggunakan pencetak 3D dan pemotong laser.

“Pelindung muka adalah penting untuk melindungi petugas barisan hadapan dan sebagai langkah untuk mematuhi protokol perlindungan dari sebarang jangkitan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, komuniti pembuat yang terbabit terdiri daripada pelbagai organisasi seperti Startups, Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME), Social Enterprise (SE), Pendidik STEM, Badan bukan Kerajaan (NGO) dan individu dari seluruh Sarawak.

Katanya, dengan kekuatan lebih daripada 100 sukarelawan membuat PPE di rumah sendiri, mereka mensasarkan menghasilkan sebanyak 10,000 unit PPE dalam jangka masa terdekat.

Selain itu, Zaidi berkata komuniti pembuat juga dalam usaha menghasilkan alat bantuan pengaliran udara dan kotak perlindungan intubasi untuk anestetik.

Katanya, mereka juga mengumpul sumbangan untuk membekalkan petugas barisan hadapan dengan sarung tangan, topeng N95 dan termos.

“Sebagai pemain utama dalam ekosistem ekonomi digital, SMA bangga melihat semangat sukarelawan dalam kalangan masyarakat dalam membantu menangani krisis ini.

“Mereka berupaya melaksanakan inisiatif ini dengan menggunakan teknologi bagi membantu petugas barisan hadapan menghadapi Covid-19.

“Usaha-usaha ini membuktikan betapa pentingnya akses kepada teknologi digital dan pendidikan, seterusnya dapat membantu masyarakat dan negara secara keseluruhan,” katanya.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: