PANDU UJI: MINI JCW Countryman 2020 — model sasa dengan prestasi gempak yang tak boleh dibuat main

0

12

- Advertisement -

Tak menghairankan sebenarnya jika bagi sesetengah orang, model kenderaan MINI mempunyai sudut tersendiri dalam angan-angan atau jauh terpendam di lubuk hati mereka. Ini jelas dapat dilihat, misalnya terhadap penghargaan atau layanan yang diberikan terhadap model-model lama MINI oleh peminat-peminatnya di Malaysia, bahkan di seluruh dunia.

Tetapi, ketika ini, saya sebenarnya sedang merujuk kepada MINI yang moden, yang sejak diperkenalkan sebagai lanjutan kepada model generasi lama kereta kecil dan comel berkenaan, ia juga boleh dikatakan sangat berjaya dalam menggamit bukan sahaja imaginasi, tetapi juga keinginan terhadapnya sebagai sebuah mesin kejuruteraan yang ada jiwa dan sejarah panjang tersendiri.

Saya sendiri sebenarnya sudah agak lama tak meletakkan tangan pada stereng kereta MINI, meluangkan masa bersamanya untuk diingatkan semula betapa memikatnya jenama dan model berkenaan, walaupun ia sekadar hadir dalam pakej saiz yang kompak. Dan, itu jugalah penyesalannya selepas memandu uji versi terbaru MINI JCW Countryman F60 2020 yang ditawarkan untuk pasaran Malaysia ketika ini.

Sesal kerana, sebaik sahaja masuk semula dan mula memandunya, saya teringatkan betapa seronok kereta MINI untuk dipandu, berdasarkan pengalaman bersama beberapa versi model terdahulu. Dan, itu perkara yang tidak baik, kerana angan-angan pun mula meliar; saya bahkan sehingga tergamak untuk menilik dan mencari tahu harga jualannya. Tak boleh tipu, ia sebuah suatu penyesalan yang menyeronokkan sebenarnya – berangan untuk memiliki sebuah MINI moden.

MINI John Cooper Works Countryman F60 2020 ini (kepada yang belum tahu, dari situ datangnya singkatan JCW), merupakan model yang paling besar saiznya daripada barisan model MINI lain yang dikeluarkan dan ketika ini berada dalam pasaran tempatan. Sebab itu, ia nampak bagak, tinggi dan agak ketara besar kalau nak dibandingkan dengan jenis MINI yang lain.

Ini jugalah MINI yang paling mahal dijual ketika ini – paling tidak untuk pasaran Malaysia – iaitu dengan harga RM378,888 dan turut hadir dengan prestasi yang bukan calang-calang. Maka itulah penyesalannya; ia kekal terbayang-bayang dan diigaukan, tak pernah surut dan barangkali hanya akan selalu berada jauh dari jangkauan realiti ramai orang. Tetapi, bertenang. Berangan tak salah dan tak perlukan modal, betul?

MINI JCW Countryman yang anda lihat ini menggunakan asas yang sama seperti model sedia ada sebelumnya dan bukan versi facelift terkini. Ini boleh dikesan misalnya daripada penggunaan lampu belakang yang masih dari jenis halogen. Menyentuh tentang reka bentuknya, model ini nampak sasa dengan ruang yang paling besar bagi MINI. Kelainan estetika pada versi ini adalah kerana ia menggunakan “baju” dan talaan atau kelengkapan JCW.

Dengan kemasan jalur dan perincian merah sebagai kontras, wajah depannya juga lebih garang dengan bukaan udara yang luas untuk menyejukkan enjin. Di belakang, rekaan bampar baru turut memuatkan dua hujung ekzos sebenar – daripada faktor ini sahaja sudah jelas bahawa ia ingin menjadi lebih daripada MINI biasa dengan mencadangkan imej yang lebih ranggi. Untuk lengkapkan imej itu, JCW Countryman ini didatangkan dengan rim dwi-tona 19-inci JCW Circuit Spoke.

Tentang praktikaliti pula, ini MINI yang paling luas boleh dibeli ketika ini. Itu terserlah jika dilihat dari saiz fizikalnya sendiri, misalnya jika ia diletakkan bersebelahan dengan model MINI yang lain. Sesetengah orang selalu berseloroh, ia seperti sebuah MINI yang ambil steroid untuk jadi besar dan berotot.

Lihat pada kelebaran kereta ini, begitu juga dengan kedudukan bumbungnya yang lebih tinggi, itu sahaja sudah mencadangkan keselesaan dalam ruang kabin – sekurang-kurangnya dari segi keluasan. Sekadar untuk makluman, saiz dimensi model ini adalah seperti berikut; 4,299 mm panjang, 1,822 mm lebar, 1,557 mm tinggi manakala jarak antara roda pula iala 2,670 mm. Berat kereta ini pula ialah 1,630 kg.

Bukan itu saja, ruang barangan di belakangnya juga agak memuaskan. Dengan kapasiti 450 liter (penyandar kerusi belakang dalam keadaan tegak) serta dengan ciri power tailgate, ia memadai untuk sebuah kereta dengan konsep rekaan kompak sepertinya. Melihat kepada fizikal dan juga angka-angka ini, jika ada yang ingin menggunakan sebuah MINI sebagai kereta keluarga, maka tak perlu tercari-cari pilihan yang sesuai – Countryman ini yang paling praktikal dan mampu memenuhi keperluan kepenggunaan jika itu adalah tujuan utamanya.

Satu perkara lagi berkaitan ruang barangan berkenaan; jika anda perlukan lebih ruang, bahagian bawah pelapiknya boleh dialih untuk mendapatkan lebih kedalaman untuk membawa barang. Tidak lupa juga ada sebuah pelapik tebal yang boleh digunakan untuk dijadikan alas dan diletakkan pada bibir pintu belakangnya – ia akan melindungi bampar daripada tercalar sekiranya anda ingin duduk di situ. Ia hadir sebagai perincian untuk menambahkan lagi kelainan aspek gaya hidup bagi kereta ini.

Ketika masuk dan duduk di dalamnya, dari satu sisi terasa seperti ia sangat familiar. Sekiranya anda pernah memandu atau duduk di dalamnya, perasaan “hangat” yang sama akan terlahir, seperti ketika pertama kali anda berpeluang mendekati mana-mana model MINI moden yang ada sebelum ini. Ia bukan identikal, tetapi dalam masa yang sama juga tidak akan menerbitkan rasa kekok.

Siapa yang boleh lupa dengan rekaan bulat yang menempatkan skrin multimedia yang terletak di tengah papan pemuka? Rekaan ini sangat ikonik dan khusus bagi MINI – yang telah sebati sebagai identitinya – dan masih dikekalkan hingga sekarang. Padanya juga terletak skrin sentuh 8.8 inci MINI Navigation System dengan fungsi pembahagi skrin yang membolehkan dua paparan ditampilkan.

Selain itu, mengiringi ciri berkenaan ialah sistem bunyi Harman Kardon 360-watt. Sistem sambungan kereta ini turut dipertingkat dengan kini mempunyai kad SIM 4G binaan dalam dan MINI Connected App yang membenarkan penggunaan fungsi kawalan jauh, Apple CarPlay, Concierge serta MINI Online. Sekiranya ada yang menggemari ciri lampu suasana dalam kabin atau ambient light, anda tidak akan kecewa – bukan hanya pada bulatan tengah papan pemuka, ia diletak juga melingkari keseluruhan kabin depan dalam pilihan 12 warna.

Dan, kalau telefon anda mempunyai ciri pengecasan tanpa wayar, ciri ini ada disediakan di bawah bahagian perehat lengan. Sebagai alternatif, tiga slot pengecas USB-C juga disediakan, satu di depan dan dua lagi untuk penumpang belakang. Hanya perlukan kabel yang betul untuk tujuan mengecas peranti.

MINI tidak pernah gagal untuk menimbulkan rasa seronok begini; padahal baru masuk dan duduk sahaja, belum lagi dihidupkan enjinnya atau mula memandu. Tanggapan seperti inilah yang penting, dan MINI memang arif tentang hal itu. Secara peribadi, ia bukanlah sebuah tataan reka bentuk dalaman yang paling praktikal, tetapi sangat mengujakan.

Maksud saya begini. Pemandu akan terasa kedudukannya seperti lebih dekat dengan cermin depan; papan pemukanya tidak terlalu luas atau terlalu jauh dari cermin utama – sekaligus memberikan jangkauan penglihatan yang luas kepada pemandu dan memudahkan anggaran jarak di depan serta untuk mencapai tombol suis yang ada. Saya tak jemu-jemu untuk memandang, memegang dan memikirkan mengapa rekaan-rekaan itu dizahirkan demikian.

Paling ikonik, tentulah tombol suis yang digukanan di bahagian tengah (suis untuk menghidupkan enjin yang paling besar) dan juga sekelompok lagi suis yang sama pada bahagian atas kepala di tengah. Aspek buatan dan pemasangan pada ruang berkenaan boleh dikatakan sangat tinggi – sama seperti yang ditunjukkan pada MINI lain sebelum ini – dan penampilan serta sentuhan yang ada sangat premium, sesuai dengan imej dan harga yang dikenakan.

Satu perkara lagi ialah tempat duduknya, cukup selesa dan dibalut dengan material kulit dan didatangkan dengan pelaras bahagian lambdar belakang badan. Walaupun semua ini memerlukan larasan secara manual (ya, ini kereta mahal tanpa tempat duduk larasan elektrik!), ia bukanlah satu masalah bagi sesetengah orang.

Di dalam ruang kabin MINI yang paling luas seperti itu, keselesaan yang tersedia berada pada satu tahap lebih tinggi daripada kebiasaan MINI yang lain. Sama ada anda duduk di kerusi penumpang depan ataupun di belakang, kedua-duanya adalah pengalaman yang menyenangkan.

Pijak brek dan tekan suis penghidup enjin, satu lagi perkara menarik tentang model versi ini akan dapat dikesan serta-merta; bunyi ekzos yang boleh dikatakan garang juga. Ini kelainan pada model JCW, tentunya. Lebih menarik sebenarnya untuk melihat angka-angka prestasi dari enjin yang diberikan oleh kereta kompak mewah ini.

Ia menggunakan enjin baru 2.0 liter empat-silinder turbo dengan kuasa 302 hp pada 5,000 hingga 6,250 rpm dan 450 Nm tork dari 1,750 hingga 4,500 rpm. Kalau nak dibandingkan dengan enjin JCW sama dari versi terdahulu, ia mencatat peningkatan output sebanyak 74 hp dan 100 Nm tork. Agak besar juga perbezaan ini, sekaligus menyumbang kepada prestasi pemanduan secara keseluruhannya.

Menyalurkan kuasa ke rodanya ialah sistem transmisi automatik Steptronic lapan-kelajuan yang hadir sekali dengan sistem pacuan semua roda ALL4, MINI Countryman JCW ini berupaya memberikan bacaan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.1 saat (dengan enjin lama, 6.6 saat). Laju maksimumnya pula bagaimanapun dihadkan kepada 250 km/j. Jadi, bagaimana dengan prestasi pemanduannya?

Rasanya tak dapat nak disorok, saya sebenarnya sangat menikmati aspek pemanduan yang ditawarkan oleh MINI Countryman JCW ini. Walaupun saiz fizikalnya yang lebih besar – boleh saja untuk menganggap model ini sebagai sebuah SUV bagi jenama MINI – ia mempunyai segenap alasan untuk tidak menjadikan perjalanan anda membosankan.

Sepanjang menggunakan kereta ini pada satu hujung minggu Januari lalu, saya sempat meluangkan masa untuk melakukan perjalanan jauh dengannya, melalui pelbagai situasi pemanduan yang mungkin, tentunya. Dengan keadaan trafik hujung minggu yang agak menyebelahi saya, anggaran kasar sejauh kira-kira 1,000 km sempat ditempuh, melibatkan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu, dengan pilihan laluan yang berbeza antara perjalanan pergi dan balik.

Ketika di dalam bandar, saya lebih banyak pemanduannya dalam mod Eco; kurang gesaan kuasa, tetapi sangat lancar rasanya penyaluran kuasa yang disampaikan, membolehkan kereta ini menempuhi laluan sesak dan terhenti-henti tanpa rasa terlalu terbeban. Dalam keadaan ini, semua input yang diberikan terhadapnya adalah sangat linear. Selepas menempuh keadaan trafik sesak untuk seketika, Lebuhraya Karak kemudiannya memberi peluang kepada kereta ini untuk mempamerkan keberkesanan pengendalian serta ketepatan input stereng yang ada.

Perjalanan tak diteruskan melalui lebuhraya. Saya sebaliknya menyusur keluar ke pekan Karak untuk bertenang-tenang menempuh perjalanan yang masih jauh. Dan, dalam keadaan jalan yang lebih lengang itu – selepas segelas kopi dan sepinggan roti titab di Karak, dan melalui Kuala Lipis menuju Kemaman berikutnya – mod pemanduan sering ditukar-tukar sekadar untuk merasakan perbezaannya. Memang sangat ketara; di dalam mod Sport, Countryman JCW ini seolah-olah bertukar menjadi sebuah “binatang” yang lain berbanding awalnya.

Deruman enjin dan juga ekzos lebih nyaring, respon minyak dan daya tujah juga segera tiba pada bila-bila masa ia diperlukan. Walaupun dengan bumbung yang agak tinggi, saya tetap menurunkan tempat duduk ke posisi paling rendah. Dengan cara ini, saya lebih yakin dan selesa; walaupun kedudukan kereta ini tinggi sedikit dari jalan, ia tetap memberikan rasa stabil yang begitu baik.

Ketika jalan kering, JCW Countryman benar-benar mencengkam dan meyakinkan. Tiada olengan badan yang ketara dapat dirasakan; semuanya bergerak dalam kesatuan dan “ikut kata”. Sesiapa pun mungkin tak akan merasa lelah untuk mengemudi, asal saja anda suka melayan adrenalin yang datang sekali-sekala ketika keadaan mengizinkan. Rasa ketika memegang stereng untuk menghalakan kemudi, serta cara bagaimana badan dipeluk oleh tempat duduknya membuatkan semua perkara seperti berada pada tempatnya untuk membolehkan pemandu terus menumpukan perhatian tanpa gangguan.

Dalam cuaca hujan dan keadaan air pada saliran tepi jalan semakin naik, tak perlu resah melulu. Jangan lupa, kereta ini punya sedikit kelebihan dari sudut ketinggiannya dari permukaan jalan. Kedua, jangan lupa juga ia dilengkapi dengan sistem ALL4, sistem pacuan semua roda yang dalam keadaan begitu sangat membantu memberikan kawalan yang jitu tanpa perlu rasa takut. Asal saja, kita berada dalam kawalan.

Hilang mengantuk dan malas untuk terlalu tekun memandang jalan, balik kepada mod ke Eco; imbangkan semula penggunaan minyak yang mungkin sedikit menderu ketika dalam mod Sport tadi. Pemanduan sebelah malam juga sangat mudah. Cahaya dari lampu utama mencapah dengan sekata dan terang. Cermin pandang belakang juga tidak begitu menyilaukan. Di jalan dalam ketika itu, menarik juga untuk mematikan pendingin hawa, menurunkan sedikit tingkap dan membuka cermin pada bumbung panoramik sebelah depan dan layankan sahaja perjalanan dengan tenang.

Kurang lebih lapan jam diluangkan dalam perjalanan santai melibatkan tiga empat kali berhenti rehat dan minum. Dan, sebaik tiba di Batu Buruk, Kuala Terengganu, badan masih tidak terlalu letih sebenarnya. Berada di dalam JCW Countryman ini cukup selesa dan tidak merimaskan atau menyebabkan lenguh-lenguh badan yang keterlalun.

Mungkin ini disumbangkan sebahagian besarnya oleh sistem suspensi JCW Sport dengan penyerap hentap adaptif yang digunakan pada kereta ini – tidak terlalu keras dan tidak terlalu berayun. Mujur ini keadaannya, kerana saya tak meluangkan masa yang lama di Kuala Terengganu; selepas tidur satu malam dan selesai urusan keesokan harinya, terus memandu pulang pada sebelah malam melalui Lebuhraya LPT terus ke KL.

Penggunaan minyak yang sempat diperhatikan juga tidak terlalu menggila. Sepanjang perjalanan dua hari satu malam berkenaan, kapasiti tangki minyak 51 liter yang ada pada kereta ini secara total hanya diisikan semula sebanyak RM110 sahaja (oh ya, setiba di KL ia masih berbaki suku tangki). Kurang lebih dalam bahasa mudahnya, ia menggunakan satu tangki untuk perjalanan sehala KL-Kuala Terengganu, termasuk melilau ke merata hala di bandar berkenaan. Jika anda lebih berhemah di belakang stereng dan pedal minyak, ia tentunya akan memberikan bacaan yang lebih baik.

Begitulah “sakti” yang ada pada kereta MINI JCW Countryman ini. Kerana, jika memandu kereta lain, saya mungkin akan mengubah fikiran dan mengambil keputusan untuk tidur satu malam lagi di Kuala Terengganu untuk menghilangkan penat sebelum bertolak balik keesokan harinya. Tetapi, itu tidak berlaku.

Ini saja sudah boleh jadi satu petunjuk longgor tentang keberkesanan kereta ini sebagai kereta keluarga atau untuk tujuan perjalanan jauh. Kalau berkemampuan dan cukup duit, adakah saya akan memilih kereta ini berbanding model-model kenderaan lain yang berada dalam julat harga yang hampir sama? Setakat ini, jawapan saya hampir pasti; ya. Sebab apa? Kerana ia menyeronokkan dan ada gaya. Dan, ramai yang menoleh atau tak malu-malu memulakan perbualan sebaik sahaja melihat kereta ini di mana pun saya berada.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: