Bawa bil elektrik/air ketika keluar rumah sepanjang PKP, bukti alamat kediaman dan jarak pergerakan

- Advertisement -
Dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki fasa kedua ketika ini, pemeriksaan dan sekatan oleh pihak berkuasa juga semakin ketat. Dan, bagi mengelakkan kelompok-kelompok orang awam yang masih ada kerap bergerak ke sana-sini dalam jarak yang jauh tanpa sebab penting, pihak polis menasihatkan semua supaya membawa dan menunjukkan bil elektrik atau air yang tertera alamat tempat tinggal semasa anda.
Itupun sekiranya anda mematuhi peraturan sedia ada yang telah diperketatkan. Misalnya, tidak bergerak lebih daripada 10 km dari tempat kediaman, hanya berseorangan dalam kereta atau atas motosikal (kes khas perlu menunjukkan bukti lain, misalnya membawa OKU ke hospital) dan tentunya, keluar hanya untuk tujuan penting seperti senarai ini sahaja.
Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Selangor yang bertindak selaku jurucakap khas Op COVID-19 Polis Selangor, ACP Mohd Ismail Muslim, memaklumkan langkah itu sebagai persediaan menunjukkan mereka memenuhi syarat dalam Peraturan 4, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, lapor Bernama.
Bagi individu yang berada di luar rumah kerana bertugas dengan perkhidmatan penting, adalah memadai dengan membawa surat kebenaran daripada ketua jabatan atau syarikat masing-masing. “Jika pergerakan untuk tujuan bertugas, bil (beralamat kediaman) bukan justifikasinya tetapi memerlukan surat kebenaran bekerja daripada ketua jabatan atau syarikat.
“Kita harapkan dalam tempoh PKP ini, letaklah bil dalam kereta sementara sebagai persediaan untuk sebarang kemungkinan kerana kalau polis tanya justifikasinya hendak ke mana, kita sebut nak balik rumah atau membeli barang keperluan, kita boleh tunjuk (bil berkenaan),” katanya.