Kawasaki ZX-25R versi ubah suai ditunjukkan di Jepun

- Advertisement -
Model sports yang menggunakan enjin empat silinder 250 cc keluaran Kawasaki iaitu Ninja ZX-25R akan memasuki pasaran Jepun tidak lama lagi, dan bagi menambahkan keterujaan kepada orang ramai, syarikat itu telah mengeluarkan beberapa gambar yang menunjukkan sebuah versi ubah suai secara menyeluruh untuk kegunaan lumba.
Walaupun unit seperti di dalam gambar tidak akan dijual terus kepada pengguna, aksesori serta kelengkapan yang digunakan masih boleh dibeli melalui pengeluar yang bekerjasama dengan Kawasaki untuk ubah suai ini apabila ia memasuki pasaran nanti.
Selain daripada menunjukkan potensi model ini sebagai jentera lumba, Kawasaki Motors Japan juga telah membuat pengumuman bahawa mereka akan menganjurkan siri perlumbaan khas (one-make race) untuk ZX-25R pada tahun 2021 di negara matahari terbit itu namun model ubah suai yang ditunjukkan itu bukanlah jentera lumba sebenar yang akan digunakan.
Antara barangan yang digunakan oleh Kawasaki pada ZX-25R yang diubah suai ini adalah seperti kit badan gentian karbon, tempat duduk serta pad tangki A-Tech, sistem ekzos titanium Beet Nassert Evolution Type II, tayar Dunlop Sportmax 13SP, rantai dan sprocket RK, monoshock Showa daripada ZX-10R, fork Showa asal ZX-25R dengan tiub dalaman yang diwarnakan, serta pedal kaki dan tuil tangan Sniper.
Selain Jepun, Indonesia juga adalah antara negara terawal yang dijangka menerima ZX-25R dalam pasaran tetapi pelancaran serta tempahan yang sepatutnya dibuka pada April ini telah ditangguh sementara disebabkan pandemik Covid-19.