Genesis G80 generasi ketiga ditunjukkan kali pertama

- Advertisement -
Genesis G80 2020 sudah pun didedahkan buat pertama kalinya, sebelum ia dilancarkan untuk pasaran Korea Selatan dan diikuti Amerika Utara tidak lama lagi. Apabila masuk ke dalam pasaran, ia akan bersaing dengan model seperti Audi A6, BMW 5 Series, Mercedes-Benz E-Class, Lincoln Continental dan Volvo S90.
Malah kalau dilihat pada rekaannya juga, anda boleh nampak beberapa bahagian seperti mempunyai persamaan dengan model-model mewah jenama lain, seperti bentuk lampu belakang, bumbung yang menjunam ke belakang dan bersambung terus dengan but, lampu hadapan serta corak bahagian dalam gril. Ia tidak betul-betul sama, tapi seakan mirip.
Menurut Hyundai, G80 2020 ini adalah model generasi ketiga, dan penyambung kepada model generasi pertama yang diperkenalkan pada tahun 2008. Ia mempunyai ukuran panjang 4,995 mm, lebar 1,925 mm, tinggi 1,465 mm dan jarak roda 3,010 mm. Jika dibandingkan dengan model sebelum ini, ia 5 mm lebih panjang, 35 mm lebih lebar dan 15 mm lebih pendek. Jarak roda pula masih sama.
Sama seperti bahagian luar, bahagian dalam juga dijadikan lebih mewah, dengan inspirasi daripada SUV GV80. Di bahagian tengah papan pemuka terdapat skrin sesentuh 14.5 inci untuk sistem infotainmen manakala di depan pemandu pula terdapat skrin 12.3 inci dengan grafik 3D. Selain sambungan Android Auto dan Apple CarPlay, sistem kereta ini juga datang terus dengan servis pembayaran dalam kenderaan Genesis CarPay.
Bagi menjadikan pemandu lebih selesa, tempat duduk di bahagian itu dipasang dengan fungsi pergerakan ergonomik yang boleh memastikan kedudukan optimum, membetulkan postur secara automatik dan mengurangkan keletihan waktu pemanduan jarak jauh. Sudah tentu, balutan kulit digunakan pada bahagian-bahagian utama, dan diserikan lagi dengan kemasan kayu serta aluminium.
Kelengkapan lain yang diberikan adalah termasuk lampu suasana, sistem bunyi Lexicon, Active Sound Design, sistem pembersih udara dengan dua penapis dan skrin sesentuh untuk penumpang belakang. Sistem keselamatan pula termasuk 10 beg udara, Pre-active Safety Seat (PSS), Forward Collision-Avoidance Assist (FCA), Remote Smart Parking Assistant (RSPA) and Blind-Spot Collision Avoidance Assist (BCA).
Ia juga dilengkapi dengan Highway Driving Assist II (HAD II) yang membolehkan kenderaan menukar lorong secara automatik apabila lampu penunjuk arah dinyalakan, dan Smart Cruise Control dengan Machine Learning (SCC-ML) yang boleh membantu pemandu mengikut tabiat memandu mereka.
G80 2020 didatangkan dalam dua pilihan enjin petrol iaitu 2.5 liter empat silinder turbo 300 hp/421 Nm dan 3.5 liter V6 375 hp/530 Nm. Pilihan versi diesel pula datang dengan enjin 2.2 liter turbo 207 hp/441 Nm. Semua enjin ini boleh dipadankan dengan sistem pacuan roda belakang sahaja atau AWD, dan digabungkan bersama transmisi automatik lapan kelajuan.
Prestasi model baru ini dijangka lebih baik kerana ia 110 kg lebih ringan hasil penggunaan lebih banyak bahagian aluminium, dan titik graviti juga lebih rendah, menghasilkan kawalan lebih baik, bersama suspensi jenis adaptif.