Advertisements

Geely hantar kunci kereta baru kepada pelanggan guna dron – tiada hubungan manusia jarak dekat

12

Bulan lepas Geely telah melancarkan sistem jualan atas talian yang dipanggil sebagai “satu penyelesaian lengkap untuk menempah kereta atas talian”, di mana orang ramai boleh memilih model kenderaan, spesifikasi, pakej pembiayaan serta insurans yang dimahukan. Kini, syarikat itu membawa sistem tersebut satu langkah ke hadapan lagi – pelanggan boleh memilih cara penghantaran tanpa sebarang hubungan jarak dekat dengan manusia.

Untuk kereta itu sendiri, Geely memberitahu mereka boleh menghantarnya ke rumah pelanggan, selepas ia melalui proses pembersihan kuman yang menyeluruh manakala kunci pula akan diserahkan kepada pemilik menggunakan dron, sama ada di depan rumah ataupun beranda jika mereka duduk di rumah bertingkat.

Proses ini dianggap berguna pada waktu jarak sosial ataupun interaksi terus antara manusia sedang menjadi langkah utama untuk membendung penyebaran wabak Covid-19 sekarang. Cara penghantaran ini akan dimulakan di beberapa lokasi terpilih di China sebelum dikembangkan ke kawasan lain.

Sejak platform jualan atas talian dibuka oleh Geely Februari lalu, lebih 10,000 pelanggan telah menempah dan membayar untuk kenderaan mereka melaluinya dan 110,000 lagi pengguna lain telah mendaftarkan minat untuk membeli kenderaan Geely dalam masa terdekat. Tempahan dan pendaftaran ini kemudiannya dihantar kepada pengedar berdekatan untuk diproses.

Geely juga pada bulan lalu telah membuat pengumuman akan melaburkan 370 juta RMB (RM218 juta) untuk pembangunan “kenderaan pintar dan sihat”, dengan memasang sistem pemulihan udara pintar G-Clean (IAPS) yang boleh menapis partikel berbahaya serta penggunaan bahan antimicrobial pada kenderaan mereka. Model terawal yang menerima barangan ini adalah Icon, yang dilancarkan pada bulan lepas.

Advertisements

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: