COVID-19: Aplikasi telefon pintar kesan pergerakan

0

09

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Malaysia sedang menyediakan aplikasi telefon pintar yang boleh mengesan pergerakan individu dalam usaha mengekang penularan COVID-19.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata aplikasi sama dilancarkan Singapura yang dirujuk sebagai antara negara yang berjaya membuat pengesanan wabak itu menerusi pengesanan kontak.

“Beberapa hari lalu, Singapura melancarkan aplikasi telefon bimbit bernama ‘TraceTogether’ yang boleh mengesan pergerakan rakyat mereka supaya apabila berlaku kes positif, mereka boleh melihat sejarah pergerakan.

“Mereka juga boleh memberi amaran kepada orang lain berhampiran dengan pesakit untuk membuat ujian (saringan),” katanya ketika menjadi moderator forum dalam talian di Facebook rasmi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), hari ini.

Forum bertajuk ‘Penyesuaian Terhadap Cabaran COVID-19’ itu disertai tiga ahli panel iaitu Felo Akademi Sains Malaysia, Prof Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud (pakar epidemiologi); Prof Dr Shamala Devi Sekaran (pakar imunologi dan virologi); dan Prof Dr Mahendhiran Sanggaran Nair (data sains dan statistik).

Dilancarkan pada 20 Mac lalu, aplikasi TraceTogether boleh mengesan individu yang berada dalam jarak dua meter daripada pesakit COVID-19 sekurang-kurangnya selama 30 minit, menggunakan teknologi isyarat Bluetooth.

Pembangun aplikasi itu berkata, ia berguna apabila mereka yang dijangkiti tidak ingat siapa yang mereka berhubung rapat untuk tempoh tertentu.

Sementara itu, Mahendhiran berkata, pelaksanaan aplikasi seperti itu perlu selaras dengan peraturan yang berkesan, selain mendidik orang ramai mengenai pentingnya penggunaan teknologi dan data dalam industri kesihatan.

“Ia mengenai mendidik penduduk bagaimana data digunakan, banyak kesedaran dan mempunyai rangka kerja pengawalseliaan mengenai siapa yang melihat dan menggunakan data, dalam keadaan apa,” katanya. – BERNAMA

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: