Enam kelab Liga Kejuaraan mahu saman EPL

21

- Advertisement -

LONDON: Enam kelab teratas Liga Kejuaraan dilaporkan bersedia untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Liga Perdana Inggeris (EPL) jika tiga pasukan tidak dinaikkan pangkat ke saingan utama susulan penularan COVID-19.

Nasib saingan Liga Perdana mencetuskan persoalan  selepas semua perlawanan ditangguhkan sehingga 3 April berikutan penularan wabak berkenaan.

Perlawanan dalam saingan Liga Perdana dijadualkan kembali diteruskan pada 4 April tetapi ia bergantung kepada keadaan semasa dengan United Kingdom menjangkakan kes jangkitan COVID-19 akan terus meningkat.

Segelintir pihak mendesak agar kempen musim ini diisytiharkan terbatal dan tidak sah kerana percaya ia adalah mustahil untuk meneruskan baki perlawanan sebelum saingan musim depan bermula.

Bagaimanapun, tindakan itu dijangka mendatangkan masalah besar terutama bagi menentukan pasukan mana bergelar juara dan layak ke saingan Eropah.

Ia juga sukar untuk menentukan pasukan mana akan dinaikkan dan diturunkan pangkat membabitkan beberapa divisyen.

Ada juga pihak yang mencadangkan jika kempen musim ini dibatalkan, Leeds United dan West Bromich Albion seharusnya dinaikkan pangkat ke Liga Perdana memandangkan mereka ketika ini berada di kedudukan dua teratas Liga Kejuaraan.

Bagaimanapun, pendahulu, Leeds dan West Brom yang menghuni tangga kedua masing-masing hanya berkelebihan tujuh dan enam di hadapan Fulham yang berada di tangga ketiga dengan semua pasukan masih berpeluang mengutip 27 mata maksimum.

Menurut  laporan The Times, enam kelab teratas Liga Kejuaraan termasuk Brentford, Nottingham Forest dan Preston mengadakan pertemuan rahsia bagi membincangkan mengenai tindakan yang perlu diambil sekiranya hanya dua pasukan dinaikkan pangkat ke Liga Perdana. – Agensi

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: