Peugeot 508 Sport Engineered produksi mula ditunjuk

11

- Advertisement -

Setahun yang lalu, Peugeot 508 Sport Engineered Concept mula ditunjukkan. Kini versi produksi model sedan berprestasi terbabit pula mula ditunjukkan melalui empat gambar rasmi daripada Peugeot – ia semakin hampir untuk menjadi kenyataan.

Dibangunkan oleh Peugeot Sport, model berkenaan ketika dalam fasa konsep merupakan sebuah unit plug-in hybrid dengan enjin berkapasiti 1.6 liter PureTech 200, dibantu pula oleh dua motor elektrik. Sebuah motor menghasilkan 112 hp dan memacu roda hadapan, sementara yang satu lagi menghasilkan 203 hp dan memacu roda belakang – menjadikannya pacuan semua roda elektrik.

Output keseluruhan ketika itu didakwa antara 350 hp hingga 400 hp; bagaimanapun angka sebenar terkini masih belum didedahkan. Apa yang diketahui setakat ini ialah pecutan 0-100 km/j, yang mana kereta ini mencatatkan 4.3 saat dan laju maksimum dihadkan secara elektronik pada tahap 250 km/j.

Membekalkan kuasa kepada motor-motor elektrik berkenaan ialah batru 11.8 kWh yang diletak pada bahagian lantai, yang menyediakan jarak pacuan elektrik sepenuhnya sehingga 50 km. Dalam mod hibrid, kereta in membebaskan 49 gram CO2 bagi setiap kilometer (kitaran WLTP). Kereta ini menggunakan platform Efficient Model (EMP2) dan turut menampilkan beberapa peningkatan berbanding model 508 biasa.

Dari segi rekaan, ia nampak mirip seperti model konsep sebelum ini, dengan bahagian gril radiator kemasan gentian karbon unik, bukaan aerodinamik pada bahagian bawah bampar, spoiler depan serta beberapa sisip aerodinamik. Lain-lain kemasan termasuk lencana gelap, perumah cermin sisi gentian karbon, rim 19-inci 10 jejari, kaliper brek depan warna kuning serta diffuser belakang yang agresif dengan ruang ekzos tersedia.

Bahagian kabin 508 Concept pula menggunakan kerusi sport balutan kulit Alcantara dengan benang kuning Kryptonite, panel instrumen digital 12.3-inci Sport Engineered, stereng kompak, tuil gear dengan sensitiviti sentuhan serta skrin sentuh 10-inci Kryptonite. Cukup menarik?

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: