Son retak tangan, Mourinho tiada penyerang

24

- Advertisement -

LONDON: Tottenham berdepan tamparan hebat menjelang aksi pusingan pertama 16 terakhir Liga Juara-Juara menentang RB Leipzig, awal pagi Khamis selepas penyerangnya, Son Heung-min disahkan tidak dapat beraksi.

Ini selepas penyerang antarabangsa Korea Selatan itu terpaksa menjalani pembedahan minggu ini selepas retak tangan kanan ketika membantu kelab itu menewaskan Aston Villa, Ahad lalu.

Spurs dalam satu kenyataan yang dikeluarkan berkata, pemain itu dijangka diketepikan untuk tempoh beberapa minggu sekali gus membuatkan Jose Mourinho kekurangan pilihan di jentera serangan dalam meneruskan baki aksi Liga Perdana.

Pemain berusia 27 tahun itu yang menjaringkan dua gol ketika melakar kemenangan 3-2 ke atas Villa menjadi tunjang utama jentera serangan Spurs sejak ketiadaan penyerang utama, Harry Kane.

Spurs yang ketika ini menghuni tangga kelima Liga Perdana Inggeris bagaimanapun tidak dapat memberikan maklumat tepat mengenai tempoh yang diperlukan Son untuk kembali pulih sepenuhnya.

Son sudah merekodkan sembilan gol dan tujuh kali membantu rakan sepasukan menjaringkan gol dalam saingan liga setakat ini.

“Susulan pembedahan yang akan dijalankan itu, pasukan perubatan kami akan memberikan maklumat lanjut mengenai proses pemulihan Son dan dia dijangka diketepikan selama beberapa minggu,” kata kenyataan itu. – REUTERS

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: