10

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: XOX Mobile Sdn Bhd sedang bekerjasama dengan Advance Tech Communication Sdn Bhd (ATC) untuk melancarkan rangkaian telefon pintar 4G dan 5G yang inovatif dalam tempoh sembilan bulan akan datang.

Dikenali sebagai XPLORE, peranti itu disasarkan kepada pengguna harian dengan tambahan kemampuan penggunaan komunikasi satelit.

Pengarah Eksekutif XOX, Steve Tan, dalam satu kenyataan berkata syarikat itu mahu memperluaskan tawarannya ke seluruh Asia Tenggara melalui perkongsian sedia ada di Malaysia, Thailand dan Indonesia menjelang suku kedua 2020.

“Wawasan kami adalah untuk menyediakan pelan rangkaian bersepadu dengan menggabungkan pelan prabayar dan platform pemesejan XOX dengan perkhidmatan satelit kecemasan ATC yang luas.

“Pengguna kami akan dapat mengaktifkan perkhidmatan satelit apabila perlu terutamanya, semasa beriadah, bekerja, perhubungan seharian atau kecemasan semasa berada di kawasan terpencil.

“Secara ringkas, kami sedang berinovasi bagi menyediakan telefon pintar satelit yang mampu milik, yang pertama untuk Malaysia sebelum dikembangkan ke rantau ini,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif AdvanceTC Limited, CP Loi berkata: “Melalui integrasi 4G, 5G dan rangkaian ruang yang cekap dalam peranti Android, kami menyediakan operator mudah alih dan pengguna cadangan nilai yang unik bagi meningkatkan liputan rangkaian, akses internet dan keselamatan perkhidmatan yang belum wujud dalam rangkaian daratan sebelum ini.”

ATC adalah 95 peratus anak syarikat milik AdvanceTC Limited, yang disenaraikan di Bursa Saham Nasional Australia.

Disasarkan kepada pengguna di seluruh Asia Tenggara, model pertama, X5, akan menggabungkan jaluran 18 band 4G LTE (evolusi jangka panjang) dengan rangkaian satelit Iridium untuk membolehkan pemesejan satelit dan perkhidmatan kecemasan.

Ini akan disusuli dengan keupayaan radio mudah alih digital yang akan membolehkan perhubungan radio dua hala jalur pendek dalam 90 hari berikutnya.

Peranti ini bertujuan untuk mengintegrasikan aplikasi komunikasi masa nyata yang menyediakan pemesejan disatukan, keupayaan berkongsi lokasi keselamatan merentasi rangkaian selular, jalur lebar, satelit dan radio digital.

-BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: