Kenderaan generasi baharu antara tumpuan NAP 2020

- Advertisement -
KUALA LUMPUR: Kenderaan Generasi Baharu (NxGV) akan menjadi antara komponen paling penting dalam Dasar Automotif Negara (NAP) 2020 yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Jumaat ini.
Penganalisis automotif, Hezeri Samsuri, NxGV ialah kenderaan generasi baharu yang menggunakan teknologi internet dan perhubungan bagi menjadikan kenderaan jauh lebih selamat, menjimatkan bahan api dan lebih teratur, sekali gus membolehkan perjalanan semakin pantas.
“Ia memberi penekanan terhadap teknologi pemanduan dengan objektif utamanya adalah kenderaan autonomi pada Tahap 5, paras tertinggi dalam carta kenderaan berkenaan.
“Malaysia juga sudah mempunyai piawaian khusus untuk kenderaan elektrik sepenuhnya (EV). Contohnya, UN Regulation 100 (keperluan keselamatan untuk trenkuasa kenderaan elektrik), piawaian MS 2413/UN R136 untuk motosikal elektrik dan MS 2688 untuk moped elektrik,” katanya kepada BH.
Hezeri berkata, NxGV dilihat fokus utama dalam dasar automotif terkini selepas kejayaan Malaysia memperkenalkan kenderaan cekap tenaga (EEV) dan menjadi negara ASEAN pertama memberi insentif untuk EEV seperti hibrid.
Malah, tegasnya Malaysia adalah antara negara ASEAN yang mempunyai persediaan paling lengkap untuk kenderaan berautonomi dan NxGV.
Katanya, ini dapat dilihat menerusi komitmen automotif tempatan dalam proses pemasangan kenderaan yang berada pada Tahap 2 dalam carta kenderaan autonomi dan dalam masa terdekat, Malaysia berusaha meningkatkan kemampuan ke tahap yang lebih tinggi.
“Tidak seperti Thailand dan Indonesia, Malaysia juga sudah memiliki piawaian untuk komponen penting dalam industri kereta elektrik,” katanya.
Sebagai contoh, beliau berkata, standard piawaian MS IEC 2688 untuk penyambung dan inlet EV, standard MS IEC 61851 khas untuk sistem caj kenderaan elektrik, standard SAE 1772 untuk soket caj dan ujian standard MS IEC 61851 untuk bateri lithium-ion.
“Bayangkan perubahan teknologi pada telefon pintar, itulah yang mahu dilakukan oleh NxGV iaitu perubahan dari kenderaan biasa kepada sebuah kenderaan EEV yang sangat pintar,” katanya.
Hezeri berkata, kenderaan NxGV tidak hanya memerlukan kepakaran dalam bidang automotif, tetapi pengetahuan yang tinggi di dalam bidang perisian komputer, komunikasi elektronik, internet dan robotik.
Katanya, dengan wujudnya NxGV, kenderaan mampu menggunakan alternatif bahan api untuk mencapai matlamat EEV yang terbaik.
“NxGV juga membantu mengurangkan risiko kemalangan kerana ia boleh menghindari situasi yang berisiko tinggi memandangkan NxGV mampu mengawal kenderaan itu sendiri.
“Malah, Malaysia sudah pun memeterai perjanjian antara Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) dengan Pusat Teknologi dan Penyelidikan Automotif China (CATARC) untuk bekerjasama dalam membina hab NxGV untuk Asia Tenggara di Malaysia.
“NAP 2020 mahu menyediakan platform untuk syarikat tempatan bangkit dan menghasilkan teknologi, kepakaran dan komponen untuk NxGV bagi kegunaan di rantau ASEAN. Ini perlu kerana vendor perlu sedar mereka tidak akan ke mana jika hanya mahu berada di peringkat sebagai ‘pemasang’ saja,” katanya.