Teknologi 5G Malaysia tumpu sembilan industri

- Advertisement -
CYBERJAYA: Teknologi 5G Malaysia yang akan diperkenalkan pada suku ketiga tahun ini akan memberi tumpuan penuh ke atas sembilan industri, kata Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Al-Ishsal Ishak.
Industri terbabit adalah pertanian, pendidikan, hiburan, penjagaan kesihatan, pembuatan, minyak dan gas, bandar pintar, pengangkutan pintar dan pelancongan.
“Teknologi 5G adalah sesuatu yang perlu kepada ekonomi Malaysia memandangkan ia mampu memperkasakan semula industri yang menjadi nadi kepada ekonomi negara,” katanya kepada media semasa kursus Pengenalan Teknologi 5G di sini, hari ini.
Teknologi 5G adalah penting kerana pelaburan dalam jalur lebar terkait secara langsung dengan pertumbuhan ekonomi negara.
Beliau ketika memetik Laporan Bank Dunia menjelaskan, peningkatan sebanyak 10 peratus dalam penembusan jalur lebar tetap menyumbang sebanyak 1.38 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Menurut kajian yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Malaysia perlu melabur secara signifikan dalam sektor infrastruktur komunikasi untuk mencapai penumpuan ekonomi sebagai negara berpendapatan tinggi.
“Berikutan kajian ini, SKMM telah menghampiri MIER untuk menjalankan tinjauan mengenai kesan 5G ke atas pelbagai industri di Malaysia,” katanya sambil menambah bahawa tiada tempoh masa yang telah ditetapkan untuk tinjauan ini diselesaikan.
Menurut Al-Ishsal, objektif 5G, selain menyediakan infrastruktur komunikasi bagi rakyat, ia juga menyediakan peluang kepada usahawan kecil untuk mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti ekonomi.
Bercakap mengenai kemajuan teknologi 5G negara, beliau berkata menjelang Jun, enam negeri dijangka akan menyelesaikan projek demonstrasi 5G.