Pagani Imola – 827 hp, 1,100 Nm tork, harga RM22 juta

- Advertisement -
Dalam diam Pagani telah menghasilkan sebuah hypercar yang hanya akan dibuat sebanyak lima unit tetapi semuanya telah habis dijual pada harga lima juta Euro. Ia dipanggil sebagai Pagani Imola, dan nama ini diambil daripada litar di mana kereta ini banyak menghabiskan masa untuk pembangunan.
Menurut Pagani, kereta ini telah melalui ujian pengesahan yang paling teruk pernah dibuat oleh syarikat, termasuk dibelasah sehingga 16,000 km pada kelajuan lumba, bersamaan dengan tiga kali jarak perlumbaan 24 Hours of Le Mans.
“Kami tak boleh cakap ini adalah sebuah kereta yang elegan. Kami mahukan kereta yang cekap, dan seperti yang boleh dijangka, jika anda lihat pada kereta lumba F1, ia membawa kami kepada rekaan dengan ciri aerodinamik tambahan. Jadi walaupun rekaan ini mungkin mengganggu pandangan kepada garis badan serta estetik kenderaan, ia sebenarnya dapat membantu memperbaiki catatan masa dalam litar, pemanduan dan keselamatan,” kata ketua pereka dan pengasas Pagani, Horacio Pagani.
Sistem aerodinamik aktif pada Imola sebenarnya adalah sama seperti kereta jalanan pertama yang menggunakan teknologi ini, iaitu Huayra, dengan empat winglet padanya boleh bergerak mengikut keadaan pemanduan, termasuk waktu membrek. Geometri suspensi pula terdiri daripada unit double wishbone pada semua roda, spring helical dan penyerap kawalan elektronik.
Bahagian monocoque tengah yang sama seperti Imola dan Roadster BC, dibuat daripada bahan komposit Carbo-Titanium HP62 G2 dan Carbo-Triax HP62 turut digunakan pada Imola, untuk mengurangkan lagi berat sambil meningkatkan ketegarannya. Pergi lagi satu tahap ke atas pada aspek pengurangan berat ini, Pagani menggunakan cat Acquarello Light, yang lima kilogram lebih ringan berbanding cat biasa. Berat keseluruhannya cuma 1,246 kg.
Pagani Imola dipacu oleh enjin V12 6.0 liter oleh AMG, dengan kuasa sebanyak 827 hp dan 1,100 Nm tork dihantar ke gandar belakang melalui transmisi AMT transverse tujuh kelajuan dengan differential elektro mekanikal. Brek pula adalah unit cakera seramik karbon Brembo bersaiz 398 mm di hadapan dan 380 mm di belakang, dengan sistem penyejukan yang ditambah baik.