11

Bagi seseorang yang duduk di bandar, motosikal berkapasiti kecil seperti skuter atau kapcai boleh dianggap penting. Saya sendiri sudah memiliki Yamaha LC135 ini sejak tahun 2010 dan digunakan sebagai pengangkutan utama hari-hari. Antara sebab utama ia masih bersama saya adalah betapa ia memudahkan urusan harian dan menjimatkan.

Namun setelah hampir 10 tahun, keadaan fizikalnya sudah tidak nampak begitu menarik. Saya juga tidak rasa begitu terpanggil untuk menjadikannya cantik semula kerana anda sendiri tahulah, bila dah cantik, ada saja yang gatal tangan. Dalam beberapa tahun yang lepas, saya lebih senang menggunakan motosikal dengan warna coverset yang bercampur-campur, tempat duduk koyak dan semuanya nampak standard sahaja. Bahagian yang saya jaga adalah enjin, suspensi dan beberapa lagi bahagian penting lain supaya tidak menjejaskan kualiti tunggangan.

Tapi bulan lalu, tiba-tiba tercetus dalam fikiran saya untuk memberi LC V1 ini lebih kasih sayang. Mungkin kerana terdapat masa cuti beberapa hari dalam bulan tersebut dan alat ganti motosikal ini masih mudah didapati, saya tidak berfikir panjang untuk mencabut semua yang perlu secepat mungkin. Sampaikan gambar asal keadaan motosikal ini juga saya terlupa untuk ambil.

Saya tidak mahu memasangnya dengan aksesori aftermarket, tetapi memilih untuk mengekalkan keadaannya seperti keluar kilang, seboleh mungkin. Kemudiannya, rancangan ‘restore’ saya juga tidak termasuk enjin kerana bahagian itu baru saja saya buat beberapa bulan yang lepas. Jadi, pecahan kos yang anda boleh lihat di bawah tidak termasuk bahagian enjin.

Cabut dan pasang semua saya buat sendiri di rumah, manakala barang alat ganti didapati daripada beberapa kedai dan yang paling utama adalah kedai pengedar alat ganti rasmi Hong Leong Yamaha Motor. Anda mungkin boleh melihat kos ini sebagai rujukan, tetapi apa yang boleh saya katakan, sekiranya mahu melakukan kerja restore ini, ikutlah kemampuan sendiri – dari aspek masa, wang ataupun tenaga.

Anda juga boleh lihat, tidak semua barang yang saya tukar adalah baru, malah ada juga yang dibeli terpakai, ada yang bukan original dan ada juga yang sekadar dibersihkan semula sahaja. Walaupun begitu, untuk bahagian-bahagian penting saya cadangkan beli sahaja yang original kerana sebenarnya harganya tidak begitu jauh berbeza. Kualiti barang yang anda dapat pula lebih baik.

Dalam kes saya, contohnya getah pedal kaki, saya menggunakan yang local. Tapi ia sangat menyakitkan hati kerana licin dan tidak lama lagi saya bercadang untuk beli sahaja yang original. Awalnya juga saya tidak tahu beza harganya cuma tidak sampai RM20 pun.

Dalam pecahan kos di atas juga anda boleh lihat saya menghantar coverset ini ke kedai cat kereta untuk disembur dengan cat clear. Apabila sudah siap, saya sedikit terperanjat dengan kosnya yang mencecah RM200. Jika difikirkan balik, harganya sudah tidak jauh dengan harga coverset itu sendiri.

Walaupun sekarang saya sudah boleh tersenyum puas dengan penampilan dan prestasi LC V1 ini yang sudah hampir seperti baru, masih ada beberapa bahagian yang masih belum lengkap seperti cermin sisi, pemijak kaki belakang dan masalah baru yang tiba-tiba muncul selepas semua selesai adalah plet klac pula.

Advertisements

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.