14

Pasukan Mellors Elliot Motorsport (MEM) yang membina jentera rali Proton Iriz R5 telah membawa kereta tersebut ke Autosport International Show 2020 hujung minggu lalu, yang diadakan di National Exhibition Centre, Birmingham, UK. Apa yang menarik, Iriz R5 kini mengenakan livery baharu bagi menggantikan grafik berwarna oren jenama minuman keras Thornbridge Brewery sebelum ini.

Pelekat Thornbridge masih lagi ada pada bonet hadapan kereta ini, tetapi mungkin MEM telah mendapat tajaan pihak lain yang lebih besar, rekaan livery tersebut perlu diubah semula. Ia kini menerima warna putih di atas dan kuning yang seiras kuning jentera MEM untuk Kejuaraan Rali Dunia (WRC) sebelum ini, Proton Satria Neo S2000 mendominasi bahagian bawah badan.

Juga, logo Proton Motorsport dibintangi kepala harimau ‘Thundercats’ kini mendominasi bahagian sisi kereta ini, yang mungkin memberikan jawapan siapa yang menjadi penaja utama mereka sekarang. Hanya satu gambar yang sisi yang disiarkan oleh MEM setakat ini dan kurang jelas pelekat-pelekat penaja lain mereka, kecuali logo tayar yang sinonim dengan dunia rali iaitu MRF.

MEM juga hanya menyatakan mereka “teruja untuk 2020 dan rancangan penuh akan didedahkan dalam masa terdekat”. Adakah jentera ini sempat untuk menyertai pusingan pertama WRC di Monte Carlo pada penghujung bulan ini? Sama-sama kita nantikan.

Proton Satria Neo S2000 yang juga dihasilkan oleh MEM untuk bertarung di WRCMEM mula membangunkan Proton Iriz R5 ini sejak tahun 2016. Jentera tersebut dijana enjin petrol turbo 4B11 yang hampir sama dengan enjin Mitsubishi Lancer Evo X (juga asas untuk enjin Proton Inspira) yang telah diturunkan kapasitinya dari 2.0 liter kepada 1.6 liter bagi membolehkan ia diiktiraf dalam kategori R5, digandingkan bersama transmisi dari Xtrac dan juga sistem pacuan semua roda.

Untuk suspensi, ia diberikan set penyerap hentak dari Reiger, dan turut menerima sistem brek dari Brembo. Seluruh kawalan elektronik jentera ini pula menerima peralatan dari Cosworth. Kereta ini telah pun menerima homologasi penuh dari FIA pada Mac tahun ini bagi membolehkan ia mengambil bahagian dalam mana-mana pusingan Kejohanan Rali Dunia (WRC) dalam kategori WRC2.

Kami telah pun menulis tiga artikel berkenaan perincian kereta ini – mengapa MEM masih menggunakan Proton sebagai platform projek R5 mereka, mengapa kereta ini menggunakan enjin dari Evo X, dan apa kaitan projek ini dengan Proton di Malaysia – kesemuanya kami korek sendiri dari pengasas MEM, Chris Mellors menerusi satu temu ramah istimewa Oktober lalu.

Bulan lalu, jentera ini sekali lagi telah diuji oleh juara dunia WRC dua-kali dari Finland, Marcus Grönholm, dan beliau sendiri menyatakan bahawa Iriz R5 sudah bersedia untuk bertarung di SS WRC.

Advertisements

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.