TAS2020: Honda Civic EK9 Cyber Night Japan Cruiser 2020 dari Modulo – dah tak nampak Type R langsung!

- Advertisement -
Pembuat aksesori asli Honda, iaitu Modulo tahun ini ke Tokyo Auto Salon 2020 dengan dua model konsep yang diasaskan dari model lama yang berusia lebih 20 tahun, salah satunya adalah ini – Honda Civic EK9 Cyber Night Japan (CNJ) Cruiser 2020.
Sebelum itu, saya beri amaran dulu kepada purist Honda EK9 – artikel ini mungkin akan menyebabkan anda sakit hati dan kecewa melihat sebuah Type R asli diperlakukan sebegini. Ya, menurut Modulo ini bukan Civic hatchback ‘kosong’ EK2 atau EK4, tetapi ia dihasilkan dari kerangka asli EK9 dan kemudian hampir semua ciri Type R sudah tidak kelihatan!
Menurut apa yang kami faham, CNJ Cruiser ini mungkin adalah bayangan Modulo bagaimana rupanya jika EK9 masih diproduksi pada masa sekarang. Jadi anda boleh lihat pada bahagian luaran kereta ini, ia kelihatan seperti prop dalam filem Back to the Future, dan tiada langsung aura Type R sebenar yang terpancar. Chewah.
Lampu hadapan masih lagi mengekalkan bentuk kluster yang sama, tetapi ia diberikan grafik dalam yang kelihatan seperti pelindung luar diberikan warna sama dengan badan pada sebahagian besar lensanya, kemudian diserlahkan dengan jalur LED disekeliling. Tulisan ‘Civic’ turut diberikan pada lampu sebelah kiri.
Bampar juga dirombak secara keseluruhan dengan gril atas bersegi kelihatan seperti gril dari Honda Accord CM, bersama liang udara sisi yang juga lebih bersegi dan lebih menonjol. Tiada sebarang logo ‘H’ dengan latar belakang merah diletakkan pada hidung kereta ini.
Modulo juga telah mewarna kemasan jalur sisi badan dan juga skirt sisi EK ini dengan warna hitam. Jadi dengan warna badan perak bersama serlahan-serlahan hitam berkenaan, ia sekali lagi nampak ‘lebih EK4’ berbanding EK9. Cermin sisi standard kini digantikan dengan unit yang lebih nipis dan nampak lebih futurisktik.
Rim juga telah membuang imej ‘perang’ pada Civic ini di mana ia dipadankan dengan rim 18-inci kemasan hitam dengan corak seperti turbin, dibaluti tayar Yokohama Advan. Hasil ‘selakan’ kami di bawah kereta ini, dapat diperhatikan bawah ia telah diberikan suspensi boleh laras bagi merendahkkan lagi badannya terhadap permukaan jalan.
Di belakang, spoiler bumbung ‘congek’ EK9 telah dibuang dan digantik dengan spoiler yang lebih kecil. Seperti juga lampu hadapan, lampu belakang juga masih menggunakan kluster dan grafik sama, bersama jalur LED sekeliling berwarna oren.
Bonet belakang tanpa pengelap cermin nampaknya masih lagi kekal, tetapi ruang nombor pendaftaran telah dibuang dan diratakan terus bagi memberikan laluan kepada kemasan bar hitam dengan lampu ‘Civic’ di tengah yang merentangi sepenuhnya serta kelihatan bersambung pada kemasan sama pada kedua-dua lampu belakang.
Tema yang sama turut di bawa ke dalam kabin. Tiada lagi elemen merah boleh dilihat pada karpet dan panel pintu, malah tempat duduk Recaro merah turut dibuka dan digantikan dengan tempat duduk Recaro Modulo berwarna hitam. Roda stereng Type R tiga jejari pula ditukarkan dengan roda stereng hitam sepenuhnya dengan unit beg udara lebih besar, tetapi Modulo masih mengekalkan tombol gear asli titanium EK9 pada kereta ini.
Bagi memberikan perasaan ia seolah-olah memang sebuah model di bilik pameran pada tahun 2020, papan meter asal telah digantikan dengan panel instrumen yang nampak seperti diambil dari Honda S660, menampilkan takometer dengan jarum terapung bersama speedometer digital di tengah.
Panel kawalan pendingin hawa juga telah digantikan dengan unit digital yang kelihatan sama dengan model-model terkini Honda. Slot untuk pemain audio utama 1-DIN dan juga corong penghembus udara tengah juga sudah tidak ada, digantikan dengan skrin infotainmen. Oh ya, pedal-pedal kaki asal juga telah dilapik dengan set pedal aloi Modulo terkini.
Modulo tidak menyatakan apa-apa perubahan yang dilakukan pada bahagian mekanikal Honda Civic EK9 CNJ Cruiser 2020 berkenaan. Dalam keadaan standard, Civic EK9 Type-R dijana oleh enjin NA B161B 1.6 liter DOHC VTEC yang mampu menghasilkan kuasa 185 PS/160 Nm, digandingkan hanya dengan kotak gear manual-lima kelajuan bersama LSD, memacu roda hadapan.