Liverpool mampu lebur 8 rekod

- Advertisement -
LONDON: Liverpool akhirnya dilihat berada pada landasan terbaik untuk menamatkan kemarau gelaran Liga Perdana Inggeris musim ini.
Selepas 20 perlawanan, mereka hampir merakam rekod sempurna dengan 19 kemenangan dan satu seri – tercicir dua mata di tangan Manchester United di laman lawan pada Oktober.
Anak buah Jurgen Klopp kini mempunyai kelebihan 13 mata ke atas pesaing terdekat, Leicester dan bermain kurang satu perlawanan berbanding pesaing kejuaraannya itu.
Jika Liverpool mampu mengekalkan rekod cemerlang liga musim ini, bukan sahaja Reds mampu menamatkan kemarau gelaran tertinggi Inggeris itu sejak 1990 tetapi mereka juga mampu meleburkan lapan rekod iaitu:
1. Permulaan baik selepas 21 perlawanan
Setakat ini Liverpool sudah mengumpul 58 mata dan satu lagi kemenangan – kunjungan ke Tottenham Ahad ini – akan membolehkan mereka mengatasi rekod Manchester City yang mengumpul 59 mata pada musim 2017-18. Manchester City mencatat 20 kemenangan di Etihad antara tahun 2011 dan 2012. Liverpool kini merakam 18 kemenangan di Anfield – dan perlu menewaskan Manchester United, Southampton dan West Ham untuk memecahkan rekod berkenaan.
2. Deretan kemenangan terbanyak
Liverpool memenangi 17 perlawanan antara Mac hingga Oktober 2019 sebelum seri di Old Trafford. Kemudian mereka menang 11, dan memerlukan tujuh lagi untuk menyamai rekod 18 kemenangan berturut-turut City dari Ogos hingga Disember 2017.
3. Kekalahan paling sedikit
Hanya Arsenal berjaya menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris tanpa kekalahan pada musim 2003-2004. Liverpool hanya tewas sekali musim lalu tetapi mampu memperbaikinya dengan kempen tanpa kekalahan kali ini.
4. Deretan tanpa kekalahan
Skuad Arsenal kendalian Arsene Wenger turut mengharungi 49 perlawanan tanpa kalah, termasuk musim 2003-04. Klopp kini pada 37 perlawanan bersama skuad Liverpool.
Arsenal juga memegang rekod paling lama tanpa kekalahan – 537 hari. Kemenangan ke atas Sheffield United 2 Januari lalu menyaksikan Liverpool mencatat genap setahun tanpa kekalahan.
5. Kemenangan terbanyak semusim
Satu lagi rekod Liga Perdana milik Pep Guardiola dari Manchester City. Dalam kedua-dua musim sebelum ini, City memenangi 32 daripada 38 perlawanan untuk muncul juara.
Liverpool memerlukan 14 kemenangan daripada 18 baki perlawanan untuk memecahkan rekod berkenaan.
6. Kemenangan terbanyak di laman sendiri
Belum pernah mana-mana pasukan sebelum ini memenangi semua perlawanan di laman sendiri dalam satu musim. Chelsea, Manchester United dan Manchester City masing-masing hanya merakam 18 kemenangan. Liverpool memenangi 11 setakat ini dan untuk melengkapkan kesemua 19 perlawanan mereka perlu menewaskan Manchester United, Southampton, West Ham, Bournemouth, Crystal Palace, Aston Villa, Burnley dan Chelsea.
7. Kemenangan terbanyak di gelanggang lawan
City turut memegang rekod kemenangan terbanyak di laman lawan dalam tempoh semusim dengan 16 daripada 19 kunjungan pada musim 2017-18. Liverpool baru menang lapan daripada sembilan kunjungan ke laman lawan setakat ini dan jika memenangi sembilan lagi daripada baki 10 perlawanan, rekod ini juga mampu dimiliki.
8. Kutipan mata terbanyak semusim
Liverpool jadi pasukan ketiga yang kutip mata tertinggi dalam sejarah Liga Perdana Inggeris dengan 97 mata musim lalu. Malangnya, mereka gagal julang kejuaraan apabila Manchester City yang mengumpul 100 mata musim sebelum itu, memintas dengan kelebihan satu mata. Namun, jika Liverpool menang baki perlawanan, mereka akan cipta sejarah sebagai pasukan mengumpul mata tertinggi dengan 112 mata. Malah, jika mereka seri sekali dan kalah tiga aksi sekalipun, mereka masih boleh pecahkan rekod City.