Mourinho ‘kunci’ Alderweireld kekal di Spurs

0

26

- Advertisement -

LONDON: Pertahanan Tottenham, Toby Alderweireld mendedahkan Jose Mourinho sebagai faktor utama dia menandatangani kontrak baharu di Spurs dan mengakui berupaya mengaut gaji yang jauh lebih tinggi jika menyertai kelab lain.

Pemain berusia 30 tahun itu memasuki tempoh enam bulan terakhir dalam kontraknya bersama Tottenham sebelum menandatangani perjanjian baharu pada bulan lalu.

Sebelum mengesahkan komitmennya, beberapa kelab cuba untuk mendapatkan khidmatnya antaranya kelab Serie A, AS Roma.

Bekas pemain Atletico Madrid itu mengakui dia berminat untuk mencari pengalaman baharu di kelab lain tetapi kagum dengan langkah pasukan itu yang pantas mendapatkan Mourinho bagi menggantikan Mauricio Pochettino yang dipecat pada November.

“Kelab menunjukkan yang mereka benar-benar berusaha mahukan saya dari sudut kewangan jadi saya menghormati mereka,” kata Alderweireld. “Saya boleh mendapat wang yang lebih banyak di tempat lain, tetapi saya memilih untuk setia, ia juga sesuatu yang bernilai.

“Saya bercakap dengan isteri, kami sedang menanti anak kedua. Pertama sekali saya bertanya kepadanya: ‘Apa yang kamu mahu?’ Dia berkata dia gembira untuk kekal, dia suka berada di sini, tetapi saya boleh memilih apa yang saya mahu.

“Tetapi lebih banyak saya berfikir mengenai episod baru di tempat lain, lebih banyak saya berfikir ‘Tidak, saya mahu kekal.’ Saya sentiasa gembira di sini sejak hari pertama. Saya merasa amat dialu-alukan di sini dan mempunyai hubungan yang baik dengan peminat.

“Kemudian sudah tentu, langkah terakhir adalah pengurus yang benar-benar mempercayai saya. Saya mempunyai hubungan yang baik dengannya sejak hari pertama. Jadi semua langkah itu membuatkan saya memutuskan untuk kekal.”

Selepas mengharungi tiga kemenangan berturut-turut sebagai pengurus Spurs, Mourinho kini melihat pemainnya kembali bergelut dan hanya menang satu daripada empat perlawanan terakhir termasuk tewas kepada Southampton di Tahun Baharu.

Justeru, Alderweireld mengakui persembahan di bawah prestasi sebenar itu sukar untuk diterima Mourinho.

“Jika kamu tidak bermain dengan baik, dia akan marah, ia normal,” kata Alderweireld. “Dia adalah pemenang, apabila kami tidak menang, dia tidak gembira. Ia amat mudah,” katanya yang dikatakan menerima gaji £150,000 (RM805,371) seminggu menerusi penjanjian baharu.

Tottenham dijadual bertemu Middlesbrough dalam saingan pusingan tiga Piala FA, malam ini. – Agensi

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: