Semua nak beraksi – Gomez

- Advertisement -
LONDON: Joe Gomez berkata pemain senior Liverpool sedia untuk diturunkan pada perlawanan Piala FA bertemu Everton, esok sekali pun timbul pendapat pengendali Reds, Jurgen Klopp akan membuat rombakan dalam pilihannya.
Buat kali kedua dalam tiga musim, Liverpool menanti kunjungan seteru tetangganya itu di Anfield bagi aksi pusingan tiga.
Liverpool memenangi perlawanan 2-1 pada pertemuan 2018 tetapi kali ini, pertembungan itu tiba ketika pendahulu Liga Perdana itu berada dalam situasi sukar.
Bukan saja baru saja mengharungi perlawanan menentang Sheffield United, awal pagi semalam yang menyaksikan Reds menang 2-0, mereka turut memiliki senarai kecederaan panjang dengan Naby Keita menjadi pemain terbaru terpaksa diketepikan.
Situasi itu menyaksikan Klopp hanya mempunyai 13 pemain senior yang boleh disenaraikan sekali gus memberi petunjuk skuad yang amat muda akan dibariskan ketika menentang Everton.
Klopp semalam mengesahkan pemain muda, Rhian Brewster akan berada dalam pasukan disamping Neco Williams, Harvey Elliott, Ki-Jana Hoever dan Nathaniel Phillips.
Tetapi disebalik perlu bekerja keras mengharungi jadual padat, Gomez menegaskan tonggak pasukan berkenaan bersedia untuk ‘mengorbankan’ badan mereka jika diperlukan.
“Ya 100 peratus,” kata Gomez ketika ditanya mengenai pandangan pemain bagi perlawanan berkenaan. “Saya fikir jika kamu bertanya kepada semua orang di bilik persalinan, kesemua mereka mempunyai keinginan untuk bermain dalam setiap perlawanan dan saya fikir ia penting untuk kami dalam pasukan ini.
“Semangat yang ada adalah sejati dan kamu dapat merasakannya. Tidak ada ‘oh saya mahu bermain dalam perlawanan ini dan berehat pada aksi berikutnya’. Saya fikir ia sudah terbukti dan kerana itu apabila semua orang boleh diturunkan, mereka bermain dengan baik. Mereka benar-benar bertanggungjawab dan membantu pasukan.
“Bagi saya, saya menggemari perlawanan tetangga dan ia istimewa. Tidak kira ia Liga Perdana atau tidak, kami menyasarkan kemenangan dan saya fikir ia tidak perlu dibuktikan. Ia adalah sesuatu yang kami nantikan tidak kira bila masanya. Semua orang mahu bermain.”
Gomez menyaksikan prestasinya kembali melonjak ketika tempoh sibuk apabila pemain berusia 22 tahun itu membantu Liverpool mencatatkan lima perlawanan berturut-turut Liga Perdana tanpa bolos.
Gandingannya dengan tonggak pertahanan Virgil van Dijk tampak mengagumkan sejak penghujung musim lalu.
“Jelas saya menikmati permainan ketika ini dan meraih momentum,” kata Gomez. “Ia berjalan dengan baik bersama Virgin dan kami gembira dapat bermain bersama-sama.” – Agensi