SPYSHOT: Proton X50 dengan gril Infinite Weave!

0

15

- Advertisement -

Dah macam-macam gambar spyshot Proton X50 kami paparkan, tetapi set imej terbaharu yang kami terima dari pembaca, Adam Hasrol kali ini agak istimewa dan membolehkan kita membayangkan sudah berada di tahap mana pembangunan SUV segmen-B tersebut – ia sudahpun mengenakan gril signatur Infinite Weave Proton yang menggantikan gril Expanding Cosmos Geely!

Gril Infinite Weave ini pertama kali diperkenalkan Proton X70, yang dihasilkan berinspirasikan dari ukiran kayu pada rumah-rumah melayu tradisional. Selepas itu elemen yang sama telah diberikan pada model-model Proton lain seperti Saga dan Persona facelift, dan akan terus digunakan untuk model-model akan datang sebagai identiti tersendiri Proton.

Logo Proton tersorok disebalik pelekat penyamaran, dan boleh dijangkakan ia hadir dengan logo ‘Thundercats’ baharu Proton dengan latar belakang bulat, berbeza dengan apa yang dibayangkan oleh Theophilus Chin sebelum ini.

Perincian lain, nampaknya masih sama dengan imej-imej sebelum ini, terdiri dari empat tip ekzos pada diffuser belakang, serta spoiler bumbung dan rim (mungkin 18-inci) bersaiz besar, menyerlahkan rupa yang sangat sporty walaupun masih berselindung dengan pelekat penyamaran hampir pada keseluruhan badan.


Imej bayangan digital Proton X50 oleh Theophilus Chin berdasarkan Geely Binyue

Seperti yang ramai tahu, Proton X50 ini dihasilkan dari Geely Binyue pasaran China, dan dijangka akan dikuasakan dengan enjin 1.5 liter turbo menjana 174 hp/255 Nm, bersama kotak gear klac berkembar tujuh-kelajuan automatik. Pada pasaran negara asalnya, Binyue turut menerima versi 1.0 liter turbo tiga-silinder berkuasa 134 hp/205 Nm dengan kotak gear enam-kelajuan automatik, dan juga pilihan model plug-in hybrid dengan padanan enjin 1.5 liter, motor elektrik dan pek bateri, mampu menghasilkan kuasa keseluruhan 255 hp/415 Nm.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: