Prospek teknologi, minyak dan gas lebih cerah 2020

- Advertisement -
KUALA LUMPUR: Tinjauan beberapa industri seperti teknologi, minyak dan gas, pengguna, pelancongan, pembinaan dan infrastruktur dijangka lebih baik tahun depan meskipun berdepan persekitaran perniagaan yang mencabar.
Ketidaktentuan global berikutan perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China serta isu geopolitik dijangka terus mendorong kepada persekitaran pasaran tahun depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AMMB Holdings Bhd, Datuk Sulaiman Mohd Tahir, berkata walaupun cabaran luaran dan ketegangan perdagangan AS-China terus memberi kesan kepada ekonomi global, industri berkaitan pengguna dan pelancongan kekal berpotensi berkembang, sementara potensi pelaksanaan semula projek pembinaan dan infrastruktur dijangka menyediakan kesan limpahan positif kepada sektor perkhidmatan dan perkilangan.
Beliau berkata, Belanjawan 2020 dijangka bertindak sebagai perangsang, dengan tumpuan kukuh dalam perbelanjaan pembangunan untuk menyokong pertumbuhan dan kemajuan sentimen.
“Sebagai destinasi pelaburan yang menarik, Malaysia dijangka terus memanfaatkan daripada pelaburan langsung asing (FDI). Pada separuh pertama 2019, kelulusan FDI meningkat sebanyak 97 peratus kepada RM49.5 bilion berbanding RM25.1 bilion dalam tempoh sama tahun lalu, yang mana adalah cerah,” katanya dalam satu kenyataan mengenai tinjauan 2020.
Sulaiman berkata, tinjauan bagi ringgit kekal berkaitan dengan hubungan antara AS dan China.
Beliau berkata, sekiranya rundingan perdagangan dibuktikan lebih baik, ia akan memperlihatkan pengukuhan Renminbi berbanding dolar AS, yang mana baik untuk ringgit mengukuh.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata pihaknya melihat sektor teknologi tempatan mempunyai prospek yang lebih baik berikutan kemungkinan pelaksanaan rangkaian 5G tahun depan.
Beliau berkata, setakat ini, kadar penguncupan dalam Jualan Semikonduktor Global (GSS) mengecil kepada 13.1 peratus pada Oktober berbanding 14.6 peratus pada September.
Penghantaran telefon pintar global juga, jelasnya meningkat semula sebanyak 0.8 peratus pada suku ketiga 2019 berbanding -2.3 peratus pada suku kedua 2019 selepas mencatatkan pertumbuhan negatif untuk tujuh sukuan berturut-turut.
Sementara itu, katanya, Worldwide Semiconductor Trade Statistics (WSTS) mengunjurkan jualan semikonduktor global dijangka berkembang positif sebanyak 5.9 peratus pada 2020, pulih daripada kejatuhan 12.8 peratus pada 2019.
“Buat masa ini, harga NAND Flash Spot TLC Flash 256GB telah meningkat dari AS$2.02 pada 29 November 2019 kepada AS$2.09 pada 18 Disember 2019.
“Justeru, trend semasa akan menunjukkan bahawa industri semikonduktor boleh mencapai paras rendahnya tahun depan. Ini dapat diterjemahkan kepada permintaan yang lebih tinggi untuk peranti baharu yang serasi dengan 5G yang akan membawa kepada peningkatan pengeluaran elektrik dan elektronik (E&E) masa depan,” katanya dalam nota penyelidikan tinjauan ekonomi 2020.
Selain teknologi, Mohd Afzanizam berkata, sektor minyak dan gas mungkin memperlihatkan lebih banyak aktiviti tahun depan kerana Petronas dijangka memperuntukkan lebih dana untuk perbelanjaan modal.
Beliau berkata, setakat ini, berita mengenai pemberian kontrak kepada peserta huluan menjadi lebih lazim, sekali gus meningkatkan kadar penggunaan aset yang tinggi.
Katanya, perbelanjaan pembangunan yang tinggi juga akan menjadi pemangkin betul untuk sektor pembinaan berikutan banyak projek infrastruktur dilaksanakan.