22

- Advertisement -

LONDON: Bos Arsenal, Mikel Arteta berkata skuadnya perlu mengembalikan semangat Bernd Leno selepas kesilapan penjaga gol Jerman itu menjadi punca kekalahan 2-1 Gunners kepada Chelsea, semalam.

Arsenal mendahului menerusi jaringan Pierre-Emerick Aubameyang tetapi tindakan Leno yang meluru keluar untuk mengekang sepakan percuma Mason Mount membawa padah dan kegagalannya dimanfaatkan Jorginho dengan penyudah mudah.

Beberapa minit berselang, Leno sekali lagi tewas kali ini menerusi penyudah Tammy Abraham sekali gus menghadiahkan Arteta kekalahan pada penampilan sulungnya selaku pengurus di Emirates.

“Moralnya pasti jatuh,” kata Arteta mengenai Leno. “Apabila kesilapan mengakibatkan pasukan kehilangan mata, ia pasti sukar. Kami perlu mengembalikan semula semangatnya.

“Dia melakukan kerja yang amat bagus sejak menyertai pasukan ini dan kami perlu menghormatinya. Kami hanya perlu mengembalikan keyakinannya semula dan itu saja.”

Perlawanan di Emirates itu turut dipalit kontroversi apabila pemain gantian, Jorginho dikatakan patut dilayangkan kad kuning kedua tetapi Arteta enggan menyalahkan pengadil, Craig Pawson.

“Saya menyalahkan pasukan saya,” kata pengendali dari Sepanyol itu. “Kami bertanggungjawab atas segala kesilapan di atas padang. Keputusan yang kami terima jelas tidak tepat. Tetapi kami tidak dapat mengawal perkara itu atau mengubahnya.”

Sekali pun tewas, Arsenal menampilkan persembahan terbaik musim ini di awal permainan dengan peminat dikatakan gembira dengan impak yang dibawa Arteta.

“Ia lebih berkait dengan organisasi, secara fizikal adalah sukar untuk mengekalkan tahap seperti Chelsea harungi ketika ini,” kata bekas pemain Arsenal itu. “Kami meminta mereka untuk melakukan sesuatu yang berbeza, bermain di tahap kepantasan yang berlainan, lebih agresif dan sejurus itu, mereka menderita.”

Arsenal akan memulakan kempen 2020 dengan perlawanan di gelanggang sendiri berturut-turut menentang Manchester United dan Leeds United dalam saingan Liga Perdana dan Piala FA selepas ini. – Agensi

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: