Mitsubishi tamatkan pembangunan enjin diesel baharu akhir 2021 – hanya naik taraf penjana kuasa sedia ada

0

12

- Advertisement -

Mitsubishi Motors sudah nekad membuat keputusan untuk menamatkan pembangunan enjin diesel baharu menjelang akhir 2021. Laporan daripada Nikkei Asia menyebut pengeluar kenderaan Jepun itu berbuat demikian bagi mengurangkan perniagaan kenderaan berasaskan diesel sedia ada kumpulan automotif terkemuka dunia itu.

Ini kerana persekitaran pasaran kenderaan yang dijanakan enjin diesel makin kurang menjadi pilihan, terutama di Eropah dengan jualan globalnya dijangka susut sehingga 40% dalam tempoh 10 tahun akan datang. Walau bagaimana pun, Mitsubishi Motors tidak akan menamatkan keseluruhan barisan kenderaan diesel dalam pasaran, sebaliknya hanya melibatkan beberapa model sahaja yang akan digugurkan enjin dieselnya termasuklah SUV Outlander.

Menurut Nikkei lagi, walau bagaimana pun, Mitsubishi Motors akan meneruskan pembangunan enjin sedia ada yang hanya terhad kepada menaik taraf penjana kuasa sedia ada. Malahan tawaran model diesel Mitsubishi juga akan terhad kepada trak kecil dan beberapa model SUV di Eropah dan Amerika Syarikat (AS) serta model van mini, Delica D:5 yang dihasilkan di Jepun.

Mitsubishi juga menjangkakan peratusan kenderaan diesel yang dibangunkan akan berkurangan sebanyak 20% daripada keseluruhan barisan kenderaan keluarannya dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, berbanding 24% pada 2018.

Sebelum ini, ada beberapa lagi pengeluar kenderaan dari Jepun yang turut mengambil langkah yang sama. Antaranya Nissan yang merancang untuk menamatkan pengeluaran enjin dieselnya menjelang akhir 2020. Begitu juga dengan Toyota yang telah mengumumkan untuk menamatkan penjualan kenderaan penumpang yang dijanakan enjin diesel secara berperingkat, selain Honda yang turut bakal mengambil langkah yang sama menjelang akhir 2021. Keputusan ini banyak dipengaruhi oleh penyusutan permintaan terhadap kenderaan diesel dan peraturan ketat yang ditentukan oleh Eropah.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: